in

“Saya cuma nak cari duit untuk rawat mata isteri” – Sudah Selesai, Pakcik Jual Petai Harap Isu Tak Dipanjangkan

Petai

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pakcik Mohd Noor Saad, 67, peniaga petai yang videonya tular baru-baru ini memaklumkan bahawa dia hanya berniaga untuk mencari duit bagi menampung kos pembedahan mata isterinya yang menghidap masalah katarak.

Menurut laporan Sinar Harian, beliau berkata, hasil jualan petai dan pucuk ubi digunakan untuk menyara kehidupan mereka berdua.


Tambahnya, dia tidak berniaga setiap hari kerana bergantung kepada bekalan petai yang diperolehnya daripada Orang Asli di Kuala Pilah.

“Saya jual ikut musim. Dapatlah duit sikit-sikit. Kadang-kadang kalau tak ada petai, saya jual pucuk ubi pula.

“Tujuan utama saya cuma satu – nak kumpul duit untuk pembedahan mata isteri yang dah lama tak nampak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang.

Mohd Noor yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) turut berkongsi bahawa beliau biasanya membawa 30 ikat petai dan menjualnya pada harga RM10 untuk enam keping.

Katanya, selagi masih sihat dan mampu, dia mahu terus berusaha sendiri tanpa menyusahkan anak-anaknya yang sudah berkahwin.

“Anak lelaki saya kerja biasa saja, anak perempuan pula suri rumah. Jadi saya tak nak bebankan mereka. Saya pun ada terima bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan,” jelasnya.

Artikel berkaitan: “Dapat ganti rugi & dapat lesen sementara” -Tular Video Tak Dibenarkan Berniaga Oleh Penguat Kuasa, Isu Penjaja Petai Telah Selesai

Artikel berkaitan: Wanita Australia Buat Sandwic Avocado Campur Petai Buat Ramai Garu Kepala

PAK CIK PETAI TULAR VIRAL e1742616556347
Peniaga petai, Mohd Noor Saad

Terdahulu, video Mohd Noor membuang petai di atas jalan sebagai tanda protes selepas tidak dibenarkan berniaga menggunakan motosikal telah tular di media sosial.

Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah pasar raya itu meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersimpati dan meminta pihak berkuasa lebih bertolak ansur.

Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa isu berkenaan telah diselesaikan secara baik selepas pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan penguat kuasa datang ke rumahnya untuk menjernihkan keadaan.

Malah, beliau telah diberikan permit niaga sementara dan juga menerima sumbangan kewangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Masa kejadian tu, saya memang marah sebab kecewa, tapi bila dah balik rumah dan bertenang, saya terima saja. Saya pun tak sangka ada orang rakam dan tular.

“Tapi sekarang semua dah selesai, saya anggap ada hikmah. Ramai orang datang bantu dan dengar cerita sebenar,” ujarnya.

Kini, beliau hanya berharap orang ramai tidak terus memanjangkan isu tersebut kerana dirinya sudah pun menerima dan reda dengan apa yang berlaku.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.