Tular di laman Threads mengenai seorang wanita yang berkongsi kerisauannya mengenai urat yang kelihatan timbul di bahagian dahi.
Hantaran tersebut telah mendapat pelbagai reaksi netizen, namun satu komen daripada seorang pengguna ini meraih perhatian ramai apabila dia menulis, ‘biasa timbul urat ni nak meninggal’.
Namun beberapa hari kemudian, wanita itu dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu nahas jalan raya.
Berita terbabit nyata mengejutkan warga Threads yang sebelum ini mengikuti hantaran berkenaan. Kenyataan individu terbabit kembali menjadi perhatian sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.


Urat timbul bukan petanda ajal
Susulan tular kisah tersebut, Public Health Malaysia (PHM) tampil memperjelaskan ia dari sudut perubatan bahawa urat dahi yang timbul bukan petanda seseorang akan meninggal dunia.
Menurut PHM, urat di dahi boleh menjadi lebih jelas apabila salur darah mengembang, terutama ketika cuaca panas, selepas bersenam, batuk atau meneran.
Selain itu, faktor genetik, peningkatan usia, kulit yang nipis serta penurunan berat badan juga boleh menyebabkan urat tersebut kelihatan lebih ketara.

Artikel berkaitan: “Marah kat abah ka?” – Lelaki Kenang Momen Terakhir Dengan Arwah Bapa, Sempat Jaga Sebelum ‘Pergi’
Artikel berkaitan: Diejek Dahi Luas, Ning Baizura Luah Anak Jadi Mangsa B*li
Jangan biarkan kebetulan jadi kepercayaan
PHM menegaskan apa yang berlaku kepada wanita berkenaan adalah satu kebetulan yang sangat menyedihkan dan tidak wajar dijadikan bukti bahawa urat timbul membawa petanda ajal.
PHM juga mengingatkan supaya orang ramai tidak hidup dalam ketakutan hanya kerana mempunyai urat yang jelas di dahi.
“Urat di dahi bukan tanda seseorang akan meninggal dunia. Apa yang berlaku selepas itu adalah satu kebetulan yang sangat menyedihkan.”
Dalam masa sama, PHM menjelaskan perubatan tidak pernah digunakan untuk meramal ajal seseorang.
Bagi umat Islam, ajal adalah ketetapan Allah dan tiada siapa mampu mengetahui bila masanya akan tiba.
Sumber: Facebook
