Ketika menghadapi musibah banjir, banyak cabaran perlu ditempuhi terutama bagi keluarga yang menjaga insan tersayang yang sedang sakit.
Dalam menempuh ujian ini, tindakan kreatif seorang pemuda dari Kampung Chapu, Kuala Berang, Terengganu, telah menyentuh hati ramai.
Demi keselesaan buat bapanya yang terlantar sakit, Zulkifli Che Noh, 37, mengambil inisiatif dengan mengikat tiga tong dram di bahagian bawah katil boleh laras bagi memastikan insan tersayangnya itu selamat ketika rumah mereka dinaiki air.
Artikel berkaitan: Kreatif! Ramai Tertarik Nak Beli Plastik ‘Bungkus’ Kereta Buat Persediaan Hadapi Banjir Lepas Tengok Video Ini
10 tahun terlantar sakit
Menurut Zulkifli, idea tersebut merupakan cadangan daripada penduduk kampung setelah bapanya, Che Noh Che Hassan, 79, tidak mampu untuk bangun atau duduk sejak awal tahun ini akibat menderita penyakit saraf.
“Bapa sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lepas namun sebelum ini dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tapi tahun ini dia tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya mampu terlantar di atas katil,” ujarnya.
Sebelum ini, ketika banjir melanda, bapanya akan duduk di kerusi dengan pemegang dan akan dibawa naik ke atas loteng rumah dengan bantuan penduduk kampung.
Namun, dengan idea baharu itu bukan sahaja memudahkan tetapi juga memberikan rasa tenang kepada mereka sekeluarga.
Zulkifli berkata, sejak minggu lalu dia telah mencuba pelbagai kaeadah penyusunan tong dram tersebut bagi membolehkan katil bapanya terapung di atas air dan mudah untuk dipusingkan ke arah kiblat apabila bapanya ingin menunaikan solat.
Usahanya itu nyata membuahkan hasil apabila katil yang telah diikat berjaya diapungkan, meskipun air naik sehingga ke paras paha. Kini bapanya tidak perlu diangkat ke atas loteng ataupun berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
@discoveryterengganu Zainab@Halimah Ismail menguruskan keperluan suaminya Che Noh Che Hassan yang terlantar sakit di atas katil terapung yang diikat menggunakan tong drum sewaktu banjir di Kuala Berang. www.discoveryterengganu.com #beautifulterengganumalaysia #tourismterengganu #amazingterengganu #discoveryterengganu #discovermalaysian #amazingmalaysia #malaysiatrulyasia #tourismmalaysia #cuticutimalaysia #GayaTravel #SayangiMalaysiaKu #vm2024
♬ original sound – discoveryterengganu – discoveryterengganu
“Selama ini pun bapa biasanya hanya tinggal di loteng rumah kalau banjir kerana dia tidak selesa untuk tinggal di PPS berikuatan keadaan kesihatannya itu.
“Jadi saya bersama ibu dan adik beradik yang lain bergilir-gilir menjaga bapa di rumah sepanjang banjir ini sementara ahli keluarga lain berada di PPS,” tambahnya.
Zulkifli berkata kawasan rumahnya saban tahun dinaiki air pada musim tengkujuh ekoran terletak berhampiran sungai dan sudah lali dengan bencana tersebut sejak kecil.
Namun, sekiranya keadaan banjir semakin memburuk dan diarahkan berpindah ke PPS, mereka sekeluarga akan berikhtiar untuk memujuk dan membawa bapanya ke PPS.
Sumber: TikTok, Sinar Harian