Usahawan kosmetik sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih mesra dengan panggilan Nur Sajat yang menetap di Sydney, Australia sejak tahun 2021 kini sedang berada di Singapura.
Perkara itu disahkan oleh pengacara dan pelakon, Roslan Shah dan mengatakan Sajat akan bersamanya di Expo Mega Raya Singapura sehingga hujung minggu ini sebelum menyambut Aidilfitri bersama di sana.
Artikel berkaitan : Banglo Sajat Turun Harga Ke RM3.4 Juta, Ejen Hartanah Beri Sebab Kenapa…
Artikel berkaitan : Sajat Pesan Bella Astillah Jangan Takut Tinggalkan Sampah, Yakin Yang Lebih Baik Jadi Pengganti
“Setakat ini, Alhamdulillah tiada apa-apa masalah untuk Sajat berada di Singapura.”
“Sebelum ini, ada masalah dalaman sikit membabitkan pasport, tapi sekarang sudah dapat diselesaikan.”
“Dia akan menyambut Aidilfitri bersama saya di Singapura. Dia yang mahu beraya di sini, kebetulan dapat cuti.”
Jelas Roslan lagi, Sajat kini dalam keadaan baik dan menjelaskan bahawa dia sangat merindui Singapura dan Malaysia.
“Dia kata memang sangat rindu dengan Singapura dan Malaysia. Sebelum ini, Sajat pernah terkandas di lapangan terbang dan tak sempat datang.”
“Sekarang, bila sudah dapat masuk, boleh dikatakan ini rezeki dia. Sekarang, Sajat nampak sangat gembira dan kehadiran dia adalah satu kejutan.”
Bagaimanapun Roslan enggan ambil tahu mengenai kehendak Sajat jika dia ingin berkunjung ke Malaysia kerana itu adalah hal peribadinya.
“Dia tak ada berkongsi kerana itu adalah hal peribadinya. Mengenai kemasukan ke Malaysia pun saya tak mahu masuk campur.”
“Urusan saya dengan Sajat hanya di Singapura disebabkan dia ada sertai acara saya,” katanya.
Pada Januari tahun lalu, Sajat mengejutkan orang ramai setelah dia mendedahkan yang dirinya kini sedang menghidap kanser tetapi tidak mendedahkan secara terperinci mengenainya.
Sebagai rujukan, Sajat mula menetap di Australia sejak 2021 kerana diburu pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan syariah.
Sajat didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dua pertuduhan, termasuk berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang dianggap tidak sopan di Instagram (IG).
Sumber : Berita Harian