Seorang atlet silat SUKMA (Sukan Malaysia) Terengganu dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas atlet tersebut dikejarkan ke hospital selepas dia rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Negeri Sembilan.
Memetik laporan Harian Metro, atlet silat tersebut, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin difahamkan pada mulanya telah tidak sedarkan diri selepas rebah setelah terkena tendangan pihak lawan ketika pertandingan petang semalam.
Atlet yang berusia 21 tahun itu kemudiannya diberikan rawatan CPR sebelum dibawa ke hospital HTJ untuk dirawat.
Namun, keluarga atlet tersebut mengatakan mereka dimaklumkan kira-kira jam 2.30 pagi bahawa Wan Muhammad Haikal telah meninggal dunia.
Artikel Berkaitan: “Soalan tu trap” – Dakwa Silat Olahraga ‘Fight Tak Real’, Johan Ghazali Kecewa Kenyataan Disalah Erti
Artikel Berkaitan: Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Muslim Ahmad Kini Bergelar Atlet Muay Thai
Difahamkan juga, menurut kakak Allahyarham, Wan Nor Haslinda, pada mulanya ayah mereka dihubungi oleh jurulatih untuk memaklumkan tentang kejadian terbabit di mana Wan Muhammad Haikal telah dibawa ke hospital berikutan dia tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan lawan.
Kini, keluarga arwah sedang menunggu urusan dan proses bedah siasat selesai.
Takziah kami ucapkan kepada keluarga arwah dan semoga roh Allahyarham Wan Muhammad Haikal ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Harian Metro