Bab pemberian nafkah terhadap keluarga ni bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Ia merupakan satu keperluan yang wajib dilaksanakan kepada isteri dan anak-anak yang berada di bawah tanggungan suami.
Seorang lelaki diwajibkan syarak menyediakan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya atas tiga sebab — salah satunya adalah perkahwinan.
Nak bercakap tentang nafkah ni pun perlu rujukan dari sumber sebetulnya, agar kita tidak terikut-ikut membuat tafsiran sendiri.
Jadi, antara nafkah yang wajib diberikan seorang suami kepada isterinya termasuk tempat tinggal, kelengkapan rumah, makanan dan alat pembersih diri — dan semua ini mengikut kemampuan suami tersebut.
Namun, tidak kurang ramai juga yang menuntut suami masing-masing memberikan wang saku kepada mereka — atas alasan ia wajib, dan suami dianggap berdosa sekiranya tidak memberi wang belanja kepada isteri mereka.
Seorang pengguna Twitter tampil mempersoalkan perkara tersebut, dan berpendapat sebenarnya masih ramai yang kurang faham mengenai hal ehwal pemberian nafkah ini.
Jelasnya, wang saku tidak termasuk dalam nafkah.
Menurutnya, kita jadi keliru disebabkan oleh perbezaan cara hidup kita — sambil memberikan contoh dua jenis keluarga yang memberi nafkah dengan cara berbeza.
Kenyataan itu menerima pelbagai respon berbeza dari pengguna Twitter lain, dan tidak kurang ada juga yang menggunakan peluang tersebut untuk bertanya soalan lanjut bagi merungkai segala kemusykilan mereka.
Misalnya, ada yang bertegas mengatakan begitu ramai lelaki yang masih tidak menyediakan nafkah terhadap keluarga masing-masing dengan cukup mengikut syariat Islam — dengan alasan, isteri bekerja dan bergaji tinggi, jadi untuk apa suami melunaskan tanggungjawab asas untuk keluarga.
Dalam hal tersebut, ia memang salah suami seratus peratus namun masih memerlukan perbincangan dari kedua belah pihak dalam menguruskan kewangan rumah tangga masing-masing.
Apapun, itulah pentingnya setiap pasangan melengkapkan diri dengan ilmu fiqh sebelum mendirikan rumah tangga agar kelak — tiada pihak yang akan mengambil kesempatan ke atas kelebihan dan kekurangan masing-masing.