in

Ramai Harap Aktiviti Mendulang Emas Eksklusif Untuk Penduduk Tempatan Sahaja

syaz ft 2025 11 19T122502.113

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pendulang emas di sekitar Kampung Limau Kasturi, Kelantan berharap lesen yang bakal dikeluarkan kerajaan negeri bagi aktiviti mendulang emas tidak terlalu ketat serta diberikan khusus kepada penduduk tempatan.

Menurut penduduk, mereka mahu lesen itu disertakan syarat yang mudah dipatuhi kerana ramai antara mereka bergantung kepada kerja mendulang sebagai sumber pendapatan tambahan.


Seorang penduduk, Che Daud Zakaria, 50, berkata beliau mahu lesen berkenaan diberikan hanya kepada penduduk setempat di kawasan terlibat.

Artikel berkaitan: Penduduk Mula Berebut Lokasi Selepas Kerajaan Kelantan Beri Kebenaran Mendulang Emas

Artikel berkaitan: Lemas Ketika Jalani Program Di Sungai, 2 Pelajar IPG Dilaporkan Meninggal Dunia

Katanya, aktiviti mendulang emas sudah lama menjadi pendapatan sampingan penduduk dan mereka tidak mahu kawasan tersebut dibanjiri orang luar.

“Di Gua Musang ini banyak kawasan sungai yang boleh mendulang emas melalui jajaran Sungai Galas ini, jadi kami harap lesen yang akan dikeluarkan nanti hanya untuk penduduk tempatan saja.

Saya dengar melalui media sosial ramai anak perantau yang berura-ura untuk pulang ke Kelantan untuk mendulang emas.

Jadi saya rasa aktiviti mendulang ini hanya dibenarkan kepada penduduk tempatan yang sudah lama menjadikan pekerjaan ini sebagai pendapatan sampingan,” katanya.

Seorang lagi pendulang, Muhammad Zulhakimi Muhammad Fauzi, 30, berkata beliau menjadikan aktiviti mendulang sebagai punca rezeki selepas berhenti kerja setahun lalu.

Katanya, pendapatan hasil mendulang digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya kerana beliau masih bujang.

“Bagi saya yang masih bujang tidak menjadi masalah menjadikan aktiviti mendulang ini sebagai sumber pendapatan kerana tidak mempunyai komitmen terhadap anak atau isteri hanya untuk kegunaan sendiri dan menampung perbelanjaan keluarga.

Boleh dikatakan hampir setiap hari saya akan mendulang bermula jam 10 pagi sehingga 1 petang. Aktiviti ini memang ada hasil, tetapi bergantung kepada rezeki sedikit atau banyak.

Jika sebelum ini kami takut-takut untuk mendulang bimbang ditahan pihak berkuasa, tapi bila dah ada lesen kami bukan lagi pendulang haram,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, menzahirkan harapan agar tidak timbul pertikaian dalam kalangan penduduk Kelantan berkaitan isu mendulang emas.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.