Sejak 1997 hingga April tahun ini, kurang 1 peratus atau hanya 2,641 daripada 510,186 daripada mereka yang berikrar sebagai penderma organ telah menunaikan janji mereka berdasarkan statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC).
Selain itu, hanya 2,641 pembedahan pemindahan organ dilakukan sejak tempoh berkenaan yang terdiri daripada 1,752 pembedahan pemindahan buah penggang daripada penderma hidup dan 651 daripada penderma kadaverik iaitu pendermaan selepas meninggal dunia.
Statistik tersebut juga mendedahkan seramai 49,111 pesakit buah pinggang tahap lima masih menunggu organ daripada penderma dan terpaksa menjalani menjalani rawatan dialisis sepanjang tempoh tersebut.
Menurut Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Nasional (NKF), Dr Zaki Morad Zaher, kekurangan bekalan organ buah pinggang ini adalah berpunca daripada sesetengah pengikrar yang meninggal dunia dalam keadaan yang tidak sesuai untuk organ mereka didermakan seperti meninggal di rumah, walaupun jumlah pengikrar organ adalah tinggi.
“Apabila mereka meninggal di rumah dan tiada sesiapa yang tahu, kita terlepas peluang mengambil buah pinggangnya”
Tambahnya lagi, sekiranya pengikrar meninggal di rumah, hanya kornea (mata) dan tulang sahaja yang boleh diambil tanpa mengira tempoh kematian seseorang. Tetapi bagi penderma buah pinggang pula perlu meninggal dalam keadaan tertentu seperti di hospital bagi membolehkan pihak hospital mengambil organnya.
Hal ini kerana, proses pembedahan (untuk buah pinggang) perlu dilaksanakan segera iaitu dalam masa empat jam bagi organ berkenaan berfungsi.
Menurutnya lagi, pesakit buah pinggang yang telah berada di peringkat akhir tidak lagi boleh mencegah penyakit itu. Golongan ini hanya boleh dirawat menggunakan mesin dialisis sepanjang hayat atau menunggu organ daripada penderma.
Namun, daripada jumlah tersebut hanya 20,000 pesakit buah pinggang sahaja yang layak untuk menerima organ baharu atau menjalani rawatan transpantasi buah pinggang atas faktor kesihatan tertentu.
Lebih parah, Dr Zaki mendedahkan bahawa mereka hanya menerima antara 80 hingga 100 buah pinggang setiap tahun. Ini menyebabkan pesakit baharu buah pinggang terpaksa menanti giliran hampir 20 hingga 30 tahun untuk mendapatkan organ daripada penderma.
Pada tahun 2020, jumlah pesakit buah pinggang peringkat akhir (peringkat lima) adalah 49,111 orang dan ini meningkat setiap tahun. Sejak 2019 hingga Disember 2020, sebanyak 26,962 pesakit baharu direkodkan.
Baca : Penyelidik Didakwa Berjaya Temui Ubat Kanser, 18 Pesakit Sembuh Lepas Jalani ‘Experiment’ 6 Bulan