Beberapa siri kejadian kebakaran kereta yang berlaku sejak Jun lalu akhirnya tumpas setelah ‘dalangnya’ diberkas pihak polis.
Menurut Kosmo, sebanyak 8 buah kereta sengaja dibakar untuk tuntutan insurans.
Isnin lalu pada pukul 11 malam polis telah memberkas seorang ejen tuntutan insurans yang dipercayai sengaja membakar kenderaan untuk membuat tuntutan dalam satu serbuan di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang.
Sejak Jun lalu, polis telah menerima sebanyak lapan laporan berhubung dengan insiden yang ‘sama’ di kawasan letak kenderaan di Kondominium Sri Putramas, Sentul.
Ketua jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kereta berjenama antarabangsa seperti Bently dan Mercedes Benz adalah antara yang sengaja dibakar.
Hasil siasatan polis terhadap suspek berusia 35 tahun itu mendapati, motif kenderaan tersebut dibakar adalah kerana tuntutan insurans. Bagaimanapun jelasnya, dia sudah mendapatkan persetujuan daripada pemilik kenderaan sebelum meneruskan pembakaran.
“Suspek akan menggunakan diesel untuk membakar semua kenderaan yang dikenal pasti antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.”
Menurut Nik Ros Azhan, penangkapan suspek sekaligus telah menyelesaikan kes khianat dengan api yang mendatangkan kegelisahan terhadap penduduk sekitar kawasan terbabit.
“Hasil semakan juga mendapati suspek yang menetap di Kepong itu mempunyai dua rekod lampau.
“Suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 iaitu khianat dengan api.”
Baca : “RIP barang 11.11″ – Lori Kurier Terbakar Di Cheras, Semua Parcel Hangus Dijilat Api