Biasa yang kita dengar, pasangan pengantin baru ni selepas bersanding mesti akan pergi berbulan madu di tempat-tempat indah. Kalau tak di luar negara pun, pasti ada destinasi menarik di dalam Malaysia yang akan mereka kunjungi untuk meluangkan masa bersama.
Namun, bagi Muhammad Ridzuan Osman dan pasangannya Nur Afifah Habib, aktiviti mereka agak berbeza dengan norma pengantin baru yang lain.
Tak sampai sehari bernikah di Permatang Berangan, Sungai Petani, pasangan ini meluangkan hari kedua mereka sebagai suami isteri dengan menguruskan jenazah yang meninggal akibat Covid-19.
Meskipun baru selamat diijab kabulkan pada Isnin lepas, pasangan tersebut dikatakan telah menguruskan jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin, Sungai Layar petang semalam.
Memetik info dari Awani, Muhammad Ridzuan selaku Ketua Operasi Pasukan Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul, terus memberitahu isterinya sebaik menerima perkhabaran ada jenazah yang perlu diuruskan.
Isteri saya bersetuju dan kami segera pergi mengambil jenazah di Hospital Sultan Abdul Halim dan membawanya ke tanah perkuburan.” – Muhammad Ridzuan
Pemuda berusia 34 tahun itu turut memaklumkan bahawa mereka menerima bantuan dari rakan sukarelawan yang lain juga untuk menguruskan jenazah berumur 80 tahun tersebut.
Sementara itu, Afifah yang bekerja di sebuah restoran makanan Korea dilihat tidak kekok menggunakan cangkul ketika proses menguruskan jenazah. Dia dikatakan menyertai pasukan sukarelawan itu 3 bulan lepas, dan menyatakan dari situlah dia bertemu suaminya.
Saya menyertai Team Hang Cangkul ini sejak tiga bulan lalu dan di sinilah cinta saya dan suami mula berputik. Kami mula mengenal hati budi masing-masing dan suami mula melamar saya untuk dijadikan isteri.” – Afifah