Seorang pelakon wanita berusia 41 tahun yang berkahwin dengan seorang pemuzik baru-baru ini telah membuat laporan polis mendakwa suaminya telah memukul anak berusia sembilan tahun.
Menurut mStar, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Sama berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai kes ini pada hari Ahad lepas.
Pelakon wanita yang pernah membintangi drama Kampong Pisang Bersiri-siri arahan Allayarham Mamat Khalid ini memberitahu bahawa suaminya yang berada di bawah pengaruh alkohol telah melempang anaknya yang cuba membantu dirinya dari dikasari.
Kejadian berlaku pada awal pagi 31 Oktober lalu. Semasa kejadian, suami pengadu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan telah menampar muka anak mereka ketika cuba membantu pengadu yang dikasari.
“Menurut pengadu, suaminya juga seorang yang panas baran. Anaknya yang meminta pengadu iaitu ibunya untuk keluar dari rumah kerana tidak mahu tinggal bersama suspek kerana takut dan trauma.”
Berdasarkan siasatan awal yang dibuat oleh pihak polis, anak pelakon yang baru berusia sembilan tahun ini telah mengalami kecederaan di pipi dan telingan akibat dilempang.
Suspek berusia 35 tahun ini kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat.
Bukan itu sahaja, Ashari turut berkata yang pihaknya difahamkan ini bukan kali pertama kejadian seperti ini pernah berlaku.
Pengadu pernah dipukul sebelum ini oleh suaminya namun tidak mahu mengambil tindakan kerana fikirkan nasib anak mereka.
Pelakon berusia 41 tahun ini telah mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada 2011 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Baca: Isteri Dipukul Suami Akibat Bergaduh Kerana Ayam Tidak Dicuci Dengan Bersih