Baru-baru ini, heboh apabila terdapat kira-kira 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand bagi menyeberangi Sungai Golok untuk ke sekolah.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mereka yang merentasi sempadan itu secara haram akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tak lebih dari RM10,000, jika sabit kesalahan.
Terbaru, Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan seramai 104 daripada hampir 500 pelajar itu merupakan pelajar di bawah kelolaannya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terdapat beberapa mekanisme yang sudah pun ditetapkan selain sedang dalam pertimbangan bagi menangani isu berkenaan, bagi memastikan akses pendidikan murid berkenaan tidak terganggu termasuk keselamatan mereka terjamin.
Difahamkan, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan keluarga untuk menempatkan pelajar berkenaan di asrama dan perkara itu hendaklah diselesaikan sebelum awal bulan depan.
“Saya melihat ini (ditempatkan di asrama) antara tindakan awal selepas perbincangan di peringkat KPM dan pihak keselamatan. Itu yang kita syorkan.
Kita sudah mengenal pasti anak-anak ini dan kita sudah pun membuat tindakan susulan. Pertamanya perbincangan dengan keluarga mereka untuk menempatkan mereka di asrama.
Ini bagi saya perlu disegerakan supaya proses yang disebutkan oleh pihak keselamatan ini mesti diselesaikan sebelum 1 Disember. Kita mesti selesaikan.
Kita sudah pun mengambil pendekatan menyediakan, menyuraikan mereka (pelajar) dalam bentuk menempatkan di asrama dan kenal pasti asrama yang boleh mereka tinggal untuk keselamatan dan meneruskan pendidikan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pendekatan itu, Fadhlina mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan untuk memastikan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengenalpasti asrama yang boleh digunakan.
Sumber: Buletin TV3