Autisme adalah sejenis kecacatan perkembangan melibatkan fungsi otak yang bukan sahaja berlaku kepada orang dewasa malah kanak-kanak. Antara sikap penghidap autisme adalah kesukaran bergaul dengan kanak-kanak seusia mereka.
Bagaimanapun, seorang kanak-kanak dari Kuantan telah membuktikan bahawa dia juga seperti kanak-kanak normal yang lain apabila aktif bermain bola sepak sehingga ke luar negara. Wah, hebatnya!
Menurut NST, sukan bola sepak telah mengubah kehidupan Daniel Hakimi Mohd Rostam, pelajar 12 tahun yang disahkan menghidap autisme sejak berusia dua tahun. Hakimi yang pada asalnya tidak suka bergaul, kini sudah menunjukkan peningkatan positif semenjak berjinak dalam permainan bola sepak.
“Saya bawa dia sertai latihan bersama abang sulungnya yang normal dan dari situ terdapat perubahan sikap dan emosinya lebih terkawal berbanding sebelum ini mudah sensitif,” kata Mohd Rostam Hassan, bapa Hakimi yang pada mulanya hanya mahu anaknya berkomunikasi sewaktu menghantarnya ke situ.
Hakimi yang mula berjinak-jinak dengan bola sepak sewaktu mengikuti abangnya telah menjadi penjaga gol sejak berusia lapan tahun lagi. Sentiasa menonjolkan kemampuannya bermain bola sepak dengan baik, Hakimi membuktikan bahawa kekurangan yang dialaminya bukanlah penghalang untuk dia berjaya dalam sukan ini.
Ini dapat dilihat apabila Hakimi terpilih untuk bermain bersama kelab Inspire FC dan bertanding bersama kelab-kelab Asia lain di Festival Bola Sepak Remaja Antarabangsa di Bangkok pada Mac lalu di mana mereka berjaya mendapatkan tempat ketiga!
Bukan itu sahaja, bakat Hakimi bermain bola sepak juga diakui oleh pasukan luar apabila dia dipinjamkan kepada pasukan Negeri Sembilan Inspire untuk bermain dalam Piala Singa di Singapura bagi kategori bawah 12 tahun baru-baru ini dan merebut gelaran juara. Wah!
“Memang tak sangka rupanya dia ada bakat dalam sukan ini dan baru-baru ini dia dikesan mempunyai kemahiran dalam permainan catur dan berjaya mewakili sekolah bersaing dengan pelajar normal,” kata Rostam.
Difahamkan Hakimi masih lagi sensitif dan adakalanya mengamuk, tetapi perubahan positif yang ditunjukkan olehnya sangat menggembirakan kedua ibu dan bapanya. Alhamdulillah.
Anak istimewa ni, kalau kita belajar cara-cara untuk ajar mereka dengan elok, pasti akan membuahkan hasil dan mungkin ada yang jadi lebih hebat dari kanak-kanak biasa macam Hakimi! Semoga Hakimi terus berjaya!