Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memang dikenali dengan sifat empati dalam kalangan komuniti. Sebelum ini, dia pernah menghantar sumbangan bekalan makanan ke rumah seorang ibu yang didapati mencuri beberapa barang di pasar raya.
Kali ini, dia dilihat sanggup turun ke liang lahad meskipun dalam keadaan lengkap beruniform polis untuk bantu menguruskan jenazah salah seorang anggota polis, Sarjan Mejar Mashidi Husian, 53, yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.
https://www.facebook.com/PolisDaerahPetalingJaya/photos/a.760559920709992/3649915811774374/?type=3
Menurut Harian Metro, isteri kepada Allahyarham, Nafisah, 53, berkata dia tidak sangka Tuan Nik Ezanee akan berbuat sedemikian namun akui arwah suaminya sering bercerita tentang keprihatinan ‘bosnya’ itu.
“Arwah mengidap penyakit buah pinggang sejak 19 tahun lalu dan sentiasa komited dengan pekerjaan dilakukannya. Kami sekeluarga terharu dengan tindakan Tuan Nik Ezanee yang turun ke liang lahad lengkap dengan uniform.”
“Adik beradik arwah yang tidak dapat datang turut terkejut apabila melihat gambar tular pegawai berpangkat tinggi membantu menguruskan jenazah.”

Arwah disahkan meninggal dunia di rumahnya di Desa Aman, Pantai Dalam dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam pada Selasa, 16 Februari.
Pengebumian suami Nafisah mendapat perhatian ramai selepas gambar dan video menunjukkan Tuan Nik Ezanee masuk ke liang lahad untuk membantu menguruskan jenazah anggotanya itu tular di media sosial.

