Sehingga hari ini, isu pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia yang menghina Malaysia dan menjadikan tragedi MH370 sebagai bahan jenaka masih menjadi bualan hangat netizen.
Lawaknya yang keterlaluan itu bukan sahaja dikecam netizen, malah turut menjadi perhatian pihak kerajaan Malaysia dan Singapura yang menyifatkan tindakan dan perbuatan pelawak itu sebagai biadab.
PDRM mohon Interpol dapatkan identiti penuh, lokasi Jocelyn Chia
Susulan isu tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan identiti penuh dan lokasi terkini Chia, lapor Bernama.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, permohonan akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 504/505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” ujar beliau.
“Tak perlu buang masa”
Namun, berita tersebut telah mendapat pelbagai reaksi netizen yang menganggap isu tersebut tidak perlu diperbesarkan sehingga perlu bertindak sedemikian.
Sebaliknya, pihak berkuasa digesa hanya melarang pelawak itu daripada masuk ke negara ini dan sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting.
Sementara itu, seorang individu mendakwa pihak berkuasa berbuat demikian kerana berkemungkinan ada pihak yang membuat laporan polis.
“Polis tak boleh NFA kes tanpa siasatan awal. Semua orang ada hak untuk buat laporan polis kan? Polis jalankan tugas je ni,” ujarnya.
Menurutnya, ia merupakan satu langkah yang baik oleh kerajaan Malaysia untuk menjaga hubungan diplomatik dengan negara lain.
Apa pandangan korang tentang perkara ni?