“Saya tak akan benarkan diri saya untuk gemuk… Saya akan buat senaman yang banyak untuk pastikan saya tak akan menjadi gemuk… walaupun sampai ke hujung hayat saya.”
Itu adalah kata-kata dalam sebuah kontrak yang terpaksa ditandatangani seorang wanita pada tahun 2012. Kontrak itu adalah sebahagian daripada peraturan ketat yang ditetapkan bapanya untuk memastikan wanita itu tidak akan menambah berat badan. Malah, untuk memastikan peraturan itu dipatuhi, bapanya akan menimbang beratnya pada setiap minggu.
Memetik laporan BBC, Rachid Khadla, 56, dari Windsor, Berkshire, telah dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan baru-baru ini selepas didapati bersalah menyerang dan memanipulasikan tiga orang anaknya.
Perkhidmatan Pendakwaan Crown (CPS) berkata tindakan Khadla adalah berpunca daripada sifatnya yang obses dengan fitness dan diet.
Ketika perbicaraan kes di Reading Crown Court, Pendakwa Raya Alex Krikler memberitahu mahkamah bahawa tertuduh pernah membaling kerusi pada anak perempuannya, Amira ketika berusia sembilan tahun sehingga mendatangkan kecederaan.
“Saya hilang keyakinan diri dan kini mengalami masalah pemakanan. Tertuduh buat saya rasa bodoh dan tidak bermakna. Saya dan adik-beradik lain tidak pernah ada zaman kanak-kanak yang gembira,” kata Amira.
Menurut anak sulung tertuduh, Karim pula dia kini berasa terancam apabila ada mana-mana individu yang menunjukkan kemarahan padanya. Dia juga menceritakan bagaimana dia teruk dibelasah pada usia lima tahun selepas bapanya mendapat tahu dia mempunyai tabiat selalu memuntahkan makanan.
“Di sekolah, saya tak ada kawan dan teruk dibuli setiap hari kerana mereka menganggap saya pelik. Tapi, dibuli adalah lebih baik berbanding apa yang saya alami di rumah,” katanya.
Selain dipaksa menandatangani kontrak tidak akan gemuk dan berat badan ditimbang setiap minggu, kesemua anak tertuduh juga akan dipukul dengan sudu kayu di tangan jika ada yang tidak mengikut peraturan ketat tertuduh.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh juga difahamkan mengawal gerak-geri anak-anaknya dan memberitahu dengan siapa mereka boleh berkawan dan aktiviti apa yang boleh dilakukan.
Perbuatan Khadla sampai ke pengetahuan pihak berkuasa pada tahun 2019 selepas salah seorang anak lelakinya melaporkan tindakan bapanya mencekik dan menumbuknya dalam satu kejadian.
Kini, kesemua ahli keluarga tertuduh telah menfailkan restraining order terhadap lelaki itu, lapor DailyMail.
Sumber: DailyMail, BBC
Baca: Dera Anak Hingga Berat Badan Tinggal 18KG Ketika Mati, Suami Isteri Ke Tali Gantung