Semestinya apabila kita melihat orang yang dalam kesusahan, sedikit sebanyak kita mahu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Lynn Ahmad, seorang pengguna Facebook yang kebetulan berada di stesen minyak di Ampang ternampak seorang peniaga yang menjual nasi lemak berharga RM1 sahaja. Namun, bukan harga nasi lemak tersebut yang telah menarik perhatian wanita itu tetapi penjualnya.
Wanita tersebut tersentuh hati apabila melihat penjual itu gigih menjual nasi lemak di bawah panas terik sambil menjaga 3 orang anaknya.
“Sedih tengok kak ni dengan 3 orang anak dia datang niaga. Akak ni dengan niaga, dengan nak kawal anak lagi.”
Menurut status tersebut, kelihatan semua anaknya masih kecil lagi tetapi tetap sabar dan tidak banyak kerenah menemani ibu mereka yang bersungguh-sungguh mencari rezeki buat keluarga.
“Nasib la anak akak ni baik duduk tepi tu, jalan raya kan bahaya kalau buas-buas tapi mereka baik je tiap petang aku lalu mesti duduk baik je tepi tu tunggu mak dia niaga.”
Lynn juga merupakan seorang ibu jadi sewaktu dia melihat kegigihan seorang wanita yang bekerja sambil menjaga anak pada waktu yang sama memang amat menyentuh hatinya.
“Aku yang kawal dua orang anak bawak kedai pun letih. Faham sangat perasaan tu. Penat tak terkata.”
Melalui statusnya, wanita itu menggalakkan orang ramai supaya membeli nasi lemak tersebut dengan niat untuk membantu meringankan beban peniaga tersebut.
Dia juga telah mendedahkan lokasi gerai nasi lemak tersebut iaitu di stesen minyak Petronas MRR2 berdekatan Tesco Ampang supaya orang ramai dapat cari nasi lemak itu..
Dengan bantuan orang ramai, kisah peniaga tersebut tersebar luas di media sosial sehingga dikongsi oleh sebuah portal berita yang mendapat 22,360 perkongsian setakat ini.
Tidak lama selepas itu, netizen yang tinggal berdekatan dengan lokasi tersebut terus berebut mencari peniaga itu untuk membeli nasi lemaknya.
Kini, netizen beratur panjang untuk mendapat peluang merasai nasi lemak tersebut kerana telah mendapat sambutan yang tinggi.
Bukan itu sahaja, seorang pengguna Twitter juga berkongsi maklumat terkini tentang perniagaan tersebut mengatakan Petronas bakal membeli nasi lemak peniaga itu dan menjualnya di stesen minyak yang berdekatan. Alhamdulillah!
Semoga kita sebagai rakyat Malaysia tidak akan berhenti menolong orang yang memerlukan.
Nilai macam nilah yang kita perlu terapkan! Syabas Malaysia!
Baca : Dua Sahabat Obses Hello Kitty Cipta Nasi Lemak Berwarna Pink di Tumpat