Keluarga kepada Jaslinda Saludin, 49, pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, terkilan dengan sikap netizen yang menuding jari dan menyalahkan mangsa.
Kakaknya, Jasima Saludin (Min) berkata, mereka kini menanggung beban emosi berat dan situasi menjadi lebih perit apabila terpaksa membaca lambakan komen negatif di media sosial.
Artikel berkaitan: Sudah Masuk Fasa Kritikal Hari Ke-9, Pakar Kongsi Bagaimana Pengalaman 10 Tahun Mampu Selamatkan Jaslinda
Artikel berkaitan: “Mungkin tersasar dari laluan asal” – Kronologi Kehilangan Pendaki, Jaslinda Di Gunung Batu Putih

“Selepas segala yang keluarga Min lalui kebelakangan ini, Min benar-benar tersedar betapa kejamnya dunia Internet.
Orang begitu mudah menghukum, membuat andaian dan membentuk pendapat tanpa mengetahui keseluruhan cerita.
Tanpa sedar, setiap kata yang ditulis itu melukai hati kami yang sedang berjuang menahan sakit apabila membaca setiap bibit komen,” tulisnya di TikTok.
Ujarnya, dugaan ini memberi pengajaran tentang nilai kemanusiaan dan empati yang semakin lenyap dalam dunia digital.
“Kita hidup dalam dunia di mana pendapat disebarkan sekelip mata, tetapi empati sering dilupakan.
Pengalaman ini mengajar Min bahawa kebaikan itu tidak memerlukan apa-apa. Belas kasihan itu sangat berharga dan memahami sepatutnya datang sebelum menghukum kerana di sebalik setiap cerita, ada hati yang sedang terluka,” katanya.
Jasima turut memohon maaf bagi pihak adiknya sekiranya ada perbuatan yang pernah mengguris hati sesiapa.
“Maaf jika adik Min ada atau pernah melukakan hati kalian.
Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka yang tidak putus-putus berdoa dan masih berusaha dalam pencarian adik Min, Jaslinda Saludin,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang menyertai pelbagai agensi serta masyarakat Orang Asli masih diteruskan. Jaslinda sebelum ini menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu bersama 13 pendaki lain. Dia mengalami masalah kesihatan sebelum dilaporkan hilang selepas meneruskan perjalanan ke puncak gunung pada 24 Mei.
Sumber: TikTok
