Pada 2 Jun lalu, satu tragedi menyayat hati telah menggemparkan seluruh negara. Sebuah van yang membawa 14 pelajar dari Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kuala Krai. Rempuhan itu telah menyebabkan 7 daripada 14 pelajar tersebut meninggal dunia.
Namun, apa yang lebih menyentuh hati netizen adalah apabila sekeping nota yang menunjukkan azam salah seorang mangsa tular di media sosial.
Melalui perkongsian di Twitter, nota itu menunjukkan 10 senarai azam bulan Ramadan tahun ini yang dicatatkan oleh Allahyarham Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan.
Nota itu dikatakan telah ditulis oleh Allahyarham pada jam 9.55 malam 24 Mei lalu dan baru sahaja diserahkan kepada pihak keluarga. Difahamkan, setiap pelajar di pusat tahfiz itu perlu mencatatkan azam masing-masing sebelum tibanya Ramadan.
Di dalam nota tersebut, Allahyarham Hakimi menulis selalu berdoa kebaikan ke atas umat Islam sebagai azamnya yang pertama diikuti dengan mengkhatamkan al Quran dan qiamullail.
Netizen tersentuh selepas membaca azam Allahyarham yang ke 10 iaitu, ‘mati di bulan Ramadan dengan keredhaanNya’. Allahu….
“Impian ke-10 nya Allah dah kabulkan,” komen seorang pengguna di Twitter.
Selain itu, antara azam lain Allahyarham adalah menginfaqkan harta dan lain (sekadar mampu) dan bercakap perkara penting sahaja selain turut berazam untuk menahan diri daripada berkeluh kisah serta membuang keegoan diri.
Perginya dia di hari Jumaat, di bulan yang mulia dan tercapai azamnya. Al Fatihah…