in

“Nasib ada hidden camera”- Letak Peluntur Dalam Kopi, Wanita Tergamak Racun Suami Sebab Nak Insurans

Collage 6

Bagi orang yang dah berkahwin, korang mesti rasa dah kenal sangat dengan pasangan sendiri kan? Kita memang tak terfikirlah orang yang kita kongsi hampir segala benda ni tergamak untuk lakukan sesuatu yang mampu membahayakan kita.

Tapi kisah yang berlaku di Amerika Syarikat ni lain pula, seorang wanita tergamak meracun suaminya demi kepentingannya sendiri.

Pada Ogos lalu, Melody Felicano Johnson telah ditahan dan didakwa atas tuduhan cuba membunuh suaminya sendiri dengan meletakkan bahan peluntur di dalam kopi suaminya. Ini kisahnya…

Artikel berkaitan: Mary Ann Cotton: Pembunuh Bersiri Zaman Victoria Yang Membunuh Guna ‘Tea Pot’ Beracun

Artikel berkaitan: Sararat Rangsiwuthaporn: Pembunuh Bersiri Wanita Pertama Thai, Racun Kawan Sebab Tak Bayar Hutang

01 Pm Cbs News Arizona 836682131.Jpg

Melody telah berkahwin dengan Roby Johnson yang merupakan anggota Tentera Udara AS. Mereka tinggal bersama dan mempunyai seorang anak. Wanita ini telah memfailkan penceraian namun mereka membuat keputusan untuk tinggal bersama sementara kes penceraian ini selesai.

Roby telah dihantar untuk bertugas di Jerman namun pada penghujung Mac lalu, dia mula perasan yang kopinya rasa pelik. Dia terus minum kopi tersebut untuk 2 ke 3 minggu berikutnya  rasa tersebut masih ada.

Ekoran ini, Roby membuat keputusan untuk membeli satu test kit bagi mengesan bahan kimia yang biasanya terdapat di dalam kolam renang. Pada awalnya lelaki ini telah membuat ujian ke atas air paip rumahnya namun mendapati airnya itu normal.

Tapi bila dia celup test kit tersebut di dalam teko kopi, dia mendapati ia menunjukkan terdapat bahan peluntur yang tinggi. Roby mula mengesyaki bahawa ada orang cuba untuk meracun kopinya.

Lelaki ini kemudiannya telah memasang kamera tersembunyi di dalam rumahnya dan terkejut bila rakaman menunjukkan isterinya, Melody telah meletakkan sesuatu di dalam kopinya.

Menurut Roby, Melody tahu yang dia akan sediakan kopinya pada waktu malam supaya keesokan harinya dia hanya perlu menghidupkan mesin pembuat kopi.

Pada waktu itu, Roby telah pun berhenti minum kopi dari rumahnya dan hanya berpura-pura minum kerana enggan membuat laporan ke atas isterinya ketika masih di Jerman.

Pada 28 Jun 2023, keluarga ini telah kembali ke Amerika Syarikat dan ditempatkan di penempatan sementara di pangkalan tentera udara yang terletak di Tucson.

Ketika di sana, Roby sekali lagi memasang kamera dan Melody sekali lagi dilihat telah berjalan ke arah mesih pembuat kopi dan meletakkan sesuatu di dalamnya.

Roby telah membuat laporan polis mengatakan bahawa isterinya ini telah cuba meracunnya dengan menuang bahan peluntur ke dalam kopinya. Namun tiada tindakan lanjut dari polis ekoran merasakan bahawa rakaman yang dibawanya itu tak menunjukkan dengan jelas wanita ini cuba untuk meracunnya.

Disebabkan ini, Roby telah memasang kamera tambahan yang dibeli menyerupai loceng kebakaran dan meletakkannya di dalam bilik membasuh pakaian, satu di atas mesin pembuat kopi di dapur dan satu lagi menunjukkan laluan dari bilik membasuh pakaian ke dapur.

Selepas mengambil beberapa rakaman selama beberapa hari menunjukkan dengan jelas bahawa Melody telah meletakkan bahan peluntur ke dalam kopinya, lelaki ini sekali lagi membuat laporan ke atas isterinya.

Dalam laporan tersebut, Roby turut mengatakan bahawa hanya dia seorang sahaja yang minum kopi dari mesin tersebut dan dia yakin isterinya itu akan terus meracunnya walaupun selepas pulang ke Amerika Syarikat dan kerana itu dia menunggu sehingga tiba di negaranya supaya dapat mengumpul bukti dan membuat laporan.

Selepas melihat rakaman tersebut, pihak polis telah menahan Melody di rumah mereka dan waran geledah juga turut mendedahkan bahawa mesin pembuat kopi itu mempunyai bau seperti bahan peluntur.

Melody kemudiannya didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dan mahkamah meletakkan ikat jamin yang tinggi ekoran terdapat laporan bahawa wanita ini telah membeli sebuah rumah di Filipina pada tahun lepas dan dianggap sebagai seorang yang berisiko untuk melarikan diri.

Roby percaya Melody bertindak sedemikian ekoran mahu mengutip insurans nyawa sebelum melarikan diri ke Filipina dan duduk bersama keluarganya yang ada di sana.

Sumber: New York Post