Selama ini kita menduga apabila tiba waktu berbuka puasa, semua orang dalam sesuatu kawasan akan berbuka pada waktu yang sama.
Seperti yang kita tahu, setiap kawasan mempunyai waktu berbuka yang berbeza iaitu ada yang zon masanya lebih awal dan ada yang sedikit lewat.
Di Malaysia, penduduk di Sabah dan Sarawak akan berbuka sejam lebih awal daripada mereka yang berada di Semenanjung.
Namun, jika berada di bangunan tertinggi dunia iaitu Burj Khalifa, Dubai pada bulan Ramadan, korang akan mengalami satu pengalaman yang unik!
Mereka yang berada di aras tinggi menara itu, perlu menunggu lebih tiga minit untuk berbuka berbanding mereka yang berada di aras bawah.
Apa sebabnya?
Memetik sumber tempatan, Mufti Besar Dubai mengatakan bahawa terdapat perbezaan waktu di aras tinggi dan aras bawah terutama pada waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.
Waktu berbuka di sana ditandai oleh matahari yang terbenam sepenuhnya, namun ia kelihatan lebih lama apabila berada di kedudukan lebih tinggi.
Jadi, disebabkan menara Burj Khalifa tersangatlah tinggi, waku berbuka di menara itu perlu dibahagikan kepada tiga zon.
Zon 1: Mereka yang berada di aras bawah iaitu dari tingkat 80 ke bawah boleh berbuka mengikut waktu azan Maghrib di masjid.
Zon 2: Bagi mereka yang berada di antara tingkat 80 hingga 150, perlu menunggu dua minit daripada zon 1.
Zon 3: Manakala untuk mereka yang berada di tingkat 150 dan ke atas, waktu berbuka perlu dilambatkan 3 minit berbanding mereka yang dibawah.
Namun, apabila tiba waktu subuh, zon masa di sini akan terbalik iaitu mereka yang berada di tingkat teratas akan melihat fajar sodiq terlebih dahulu berbanding mereka yang berada di bawah.
Ada yang berpengalaman berbuka puasa di menara itu mengatakan kebanyakannya akan berbuka di medan selera tingkat bawah. Konsep ini juga terpakai kepada mereka yang tinggal di kawasan pergunungan kerana paras ketinggian yang berbeza.
Baca: 5 Resipi Juadah Popular Di Bazar Ramadan, Boleh Buat Sendiri Tau!