Sebelum ini viral di media sosial pemain drum kumpulan Caliph Buskers dalam kesusahan selepas terpaksa bergantung dengan duit simpanan untuk menyara diri dan anaknya selama setahun.
Perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun yang telah membuat kunjungan ke rumah Fendy untuk memberikan bantuan.
Pun begitu, kunjungan Rina Harun ini telah mengundang kecaman netizen selepas dia dilihat telah melanggar SOP bila mengambil gambar menyuapkan makanan kepada anak Fendy, Nur Azaela Zafirah yang merupakan kanak-kanak istimewa.
Susulan ini, Awani melaporkan Rina telah pun memohon maaf atas tindakannya yang dilihat tak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Berikutan berita yang tular berkenaan tindakan saya menyuapkan makanan kepada seorang kanak-kanak OKU bernama Nur Azalea Zafirah, berusia 6 tahun yang merupakan anak kepada saudara Fendi Adlun, pemuzik Caliph Buskers.
“Saya memohon maaf andai kiranya tindakan responsif saya tidak menyenangkan mata dan menimbulkan persoalan dan kebimbangan kepada sesetengah pihak.
“Untuk makluman semua, kanak-kanak tersebut merupakan seorang kanak-kanak OKU penglihatan dan autisme yang mana anak ini berada dalam keadaan kurang ceria ketika ketibaan saya.
“Namun kanak-kanak tersebut beransur ceria dan tenang apabila dipujuk dan ditawarkan hidangan makanan yang saya bawa. Bapa beliau sendiri memaklumkan bahawa anaknya tidak mampu makan sendiri dan perlu dibantu dalam menyuapkan makanan kepada anaknya.”
Menjelaskan keadaan itu, Rina mengatakan ekoran keadaan kanak-kanak itu yang cacat penglihatan dan autisme, kanak-kanak tersebut perlu dibantu untuk makan.
Malah, disebabkan anak Fendy sendiri menyuruh untuk disuap, Rina mengatakan dia tak sampai hati untuk menghampakan permintaan kanak-kanak tersebut.
Hati saya menjadi lebih tersentuh apabila kanak-kanak tersebut sendiri menyebut ‘Nak Aunty suapkan…’ kepada saya.
Untuk tidak menghampakan anak istimewa ini, saya terus menyuapkan makanan tersebut sebagai sebahagian pendekatan psikososial dalam menzahirkan rasa kasih saya sebagai seorang wanita kepada kanak-kanak apatah lagi buat insan yang kurang bernasib baik ini.”
Sementara itu, Fendy juga turut tampil menjelaskan perkara ini dan berharap orang ramai faham dengan keadaan anaknya itu, lapor mStar.
Anak saya ni buta dan autisme, dia ni mudah mesra dengan orang. YB Rina hanya menyantuni anak saya dan bagi saya tak ada salah pun.
“Dia sendiri minta suapkan makanan tu untuknya, budak autisme ni lain tau. Apabila dia selesa dengan orang dia nak macam-macam. Jadi kita tak boleh harap dia faham seperti mana kita faham.”
Selain itu Fendy turut menjelaskan yang anaknya itu sentiasa mahukan perhatian dan mahu permintaannya ditiruti jika selesa dengan orang berkenaan.
Kalau kanak-kanak normal senang nak explain, tapi anak saya ni lain, kena layan dia dan meraikan dia. Jika apa yang dia nak tu tak dapat, dia akan mengamuk dalam keadaan yang terkawal.”