Hujung minggu lalu kita dikejutkan dengan satu kemalangan di Rompin melibatkan sebuah bas yang membawa rombongan guru dari SK Jeram, Masjid Tanah untuk ke Terengganu. Nahas ini berlaku di Lebuhraya Tun Abdul Razak, Muadzam Shah, Pahang pada awal pagi semalam.
Akibat dari kemalangan ini, seorang guru Hasnatul Adilah Hassan yang berusia 48 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Seorang lagi guru, Hamzah Ahmad, 60, pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Artikel berkaitan: Bas Bawa Rombongan Guru Terlibat Kemalangan & Terjunam Ke Bawah Cerun, 2 Maut
Artikel berkaitan: Tular Gambar Kemalangan Maut Lelaki Tersepit Celah Tayar Myvi, Ini Kronologi Dari Polis
Kronologi nahas bas Rompin
Menurut suami Hasnatul Adilah Hassan yang meninggal dunia di tempat kejadian, isterinya yang juga merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Jeram bersama seorang anak lelaki mereka, Mohd Farouq, 12, telah menyertai rombongan untuk menyertai program penanda aras sekolah di Seberang Takir, Terengganu.
Menurut Saifullizan Abu yang juga seorang guru, isterinya ini telah menghubungi pada jam 12 tengah malam memberitahu bahawa rombongan tersebut masih dalam perjalanan. Namun begitu, pada jam 3 pagi, Saifullizan telah mendapat panggilan dari anaknya yang lain memberitahu bahawa Hasnatul dan Farouq telah terlibat dalam kemalangan.
Manakala salah seorang guru yang terselamat dalam kemalangan ini, Asmaniza Mohamad mengatakan yang dia telah melihat Hasnatul tertiarap berhampiran pokok dan masih dalam keadaan sedar sebelum salah seorang rakan lain mengajarnya untuk mengucap.
Asmaniza mengatakan bahawa Hasnatul sempat bertanya tentang anaknya yang cedera akibat kemalangan ini.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kemalangan maut tersebut pada jam 12.40 tengah malam.
Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas dari arah Seremban menghala ke arah Kuantan telah gagal memberhentikan kenderaan sebelum merempuh treler yang sedang menghala Segamat.
“Bas itu membawa 37 penumpang bersama dua pemandu dan akibat kemalangan berkenaan, seorang maut di lokasi kejadian manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Muadzam Shah dan HTAA untuk rawatan lanjut.”
Seorang lagi guru maut
Pada jam 9.30 malam pula, seorang guru yang terbabit dalam kemalangan ini, Dahlia Ahmad yang berusia 52 tahun telah dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA sekaligus menjadikan jumlah mangsa maut seramai empat orang.
Menurut Nor Azman, 10 mangsa kini masih menerima rawatan di hospital manakala 25 yang lain telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar.
Kaunselor dikerah ke SK Jeram untuk beri sokongan
Menteri pendidikan, Cik Fadhlina Sidek berkata pihaknya turut berdukacita terhadap insiden yang berlaku ini dan memberikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.
Tambahnya lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunggu laporan penuh berhubung kemalangan bas membawa rombongan guru SK Jeram itu dan sedang mengambil segala langkah untuk memastikan kebajikan guru serta keluarga mereka yang terlibat.
Selain itu, kaunselor juga akan turut dikerah turun ke SK Jeram untuk memberikan sokongan psikososial kepada guru termasuk anak murid yang kehilangan guru mereka dalam kejadian ini.
Sumber: Malaysiakini, Sinar Harian, Harian Metro