Sekumpulan Pati warga Indonesia berjaya ditahan dalam Op Benteng yang membabitkan kerjasama Kompeni B Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut Harian Metro, 14 orang individu itu ditemui bersembunyi di dalam hutan paya bakau berselut berhampiran pesisir Pantai Bagan Lalang, Sepang bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Terdahulu, mereka dikatakan nekad terjun ke dalam laut sebelum berenang ke arah pantai dan bergerak ala ‘komando’ dengan merangkak dalam kawasan paya bakau berselut itu.
“Pihak PGA dimaklumkan berhubung kejadian itu segera menggerakkan 11 anggota PGA bagi membantu operasi. Ketika pemantauan dilakukan, sebuah bot pancung berwarna kelabu dikesan terapung dan bergerak perlahan menuju ke tepi Pantai Bagan Lalang.”
Malah pihak berkuasa sendiri nampak beberapa individu terjun ke dalam laut dan meranduk air menuju ke tepi pantai. Bot pancung terbabit kemudian berpatah balik ke arah perairan Indonesia dan hilang.
“Susulan itu pemeriksaan dilakukan di kawasan hutan paya berhampiran lokasi kejadian sebelum pihak berkuasa berjaya menahan 14 Pati sekitar jam 11.30 pagi. Rata-rata Pati terbabit cuba menyeludup masuk ke negara ini dengan menggunakan khidmat bot tekong.”
Semua Pati membabitkan sembilan lelaki dan lima perempuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Kuala Linggi untuk siasatan lanjut.