Seorang wanita memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki seorang lelaki yang dipercayai telah mendera kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang merupakan anak kekasihnya.
Menerusi hantaran wanita itu di laman Facebook, kali terakhir lelaki itu dilihat berada di kawasan Desa Rejang, Wangsa Maju.
Marah sebab buat bising
Difahamkan, kanak-kanak itu didera oleh lelaki terbabit disebabkan marah kepada mangsa kerana membuat bising. Berdasarkan laporan polis yang dikongsikan, ibu mangsa menyatakan kekasihnya telah memukul anaknya itu dengan menggunakan penyangkut baju dan menamparnya di bahagian muka.
“Anak saya seorang yang aktif di dalam rumah. Apabila anak saya membuat bising, teman lelaki saya sering memarahi dan memaki hamun anak saya.
“Anak saya mengalami kecederaan di bahagian muka, bengkak di bibir, lebam di mata dan seluruh badan,” katanya.
Ibu mangsa telah cuba menghalang tindakan kasar lelaki itu namun gagal. Malah, lelaki tersebut sanggup mengurung anaknya di dalam sebuah bilik.
Tambahnya lagi, anaknya sering dipukul sejak 4 Jun lalu sehingga semalam selepas mereka dihantar pulang ke rumah ibunya di Setapak Jaya.
Namun, lelaki tersebut sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran kereta polis peronda dan tidak dapat dikesan sehingga kini.
Sementara itu, kedua-dua beranak telah dihantar ke hospital oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menerusi info di ruangan komen, lelaki itu pernah mempunyai rekod jenayah menggunakan kekerasan memukul seorang wanita.
Baca: Lelaki Tiba-tiba ‘Mengamuk’ Di Restoran, Baling Makanan & Minuman Sampai Kena Budak 4 Tahun