Perdana Menteri Malaysia (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa 3 bank konvensional negara iaitu CIMB, Maybank dan Agrobank telah bersetuju memberikan moratorium pinjaman selama 6 bulan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.
Dalam masa yang sama, PMX maklumkan bahawa kerajaan telahpun menghubungi beberapa bank lain bagi meminta mereka untuk meluluskan moratorium kepada mangsa banjir di negeri itu, lapor Berita Harian dan Astro Awani.
“Dengan langkah ini, semalam dan hari ini kita menghubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah yang diambil oleh Maybank dan CIMB. Agrobank Menteri Pertanian kata ‘okey’,” katanya semasa pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Ia merupakan respon susulan dengan pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan dirinya yang tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor yang melibatkan jumlah mangsa yang begitu banyak.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Perdana Menteri agar mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di Johor.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam entri di laman Facebook pada Isnin berkata, Agrobank akan memberikan moratorium dan pengecualian caj ke atas penukaran kad debit ATM dan buku akaun simpanan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir.
Berkenaan dengan persoalan darurat banjir, PMX menyatakan bahawa ianya tidak wajar dilakukan kerana keadaan di Johor kini semakin terkawal.
“Di kawasan Felda yang terputus lalu lintas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah segera membina Jambatan Bailey,” tambah Perdana Menteri.
Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan akan meneruskan projek tebatan banjir di Johor dan Sungai Golok, Kelantan.
“Saya nak tegaskan sekali lagi di sini, projek tebatan banjir diluluskan oleh kementerian masing-masing dengan peruntukan yang ditetapkan.
“Saya batalkan kerana kos itu tinggi dan melalui rundingan terus tetapi projek itu mesti diteruskan. Saya sudah umum dalam Bajet 2023, dan ini termasuk tebatan banjir di Johor dan Sungai Golok, Kelantan. Jadi nak kata diskriminasi projek ini pasal apa?” soal Perdana Menteri.
Baca : Banjir Johor: Wanita Ditemui Lemas Dalam Kereta, Dihanyut Arus Deras