Rang Undang-undang Larangan Tembakau dan Rokok (RUU) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ini adalah langkah pertama untuk meyakinkan Kabinet dan memenangi sokongan mereka bagi membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen.
“Jika rang undang-undang itu diluluskan, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang meluluskannya sebagai undang-undang yang larangan merokok dan memiliki produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) bagi mereka yang lahir selepas 2005.”
Menerusi laporan Malay Mail, cadangan pelaksanaan peruntukan generational endgame (GEG) dalam rang undang-undang itu adalah untuk melindungi generasi muda Malaysia daripada mengamalkan tabiat merokok dan ketagih produk tembakau apabila mereka meningkat dewasa.
Malah, ia juga akan mengurangkan bilangan perokok di Malaysia kepada kurang daripada lima peratus menjelang 2040.
“Kalau RUU ini diluluskan oleh Dewan Rakyat bulan ini, Malaysia akan jadi negara pertama dalam dunia yang dapat meluluskan sebagai undang-undang satu generasi penamat kepada tabiat merokok” – @Khairykj
Harap semua MP Kjaan & Pembangkang boleh sokong usaha murni KKM di parlimen https://t.co/5GLnGTz57I pic.twitter.com/xDKBMGE8mw
— SokanMalaya™️ (@SokanMalaya07) July 8, 2022
“Ini akan dapat mengurangkan risiko kematian bayi pramatang, penyakit kronik dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat komplikasi merokok dalam kalangan masyarakat.
Sekarang adalah masa terbaik untuk ‘menutup pintu’ sepenuhnya kepada golongan muda Malaysia kerana 97 peratus belia menyokong GEG dan tidak melihat merokok sebagai gaya hidup yang mereka idamkan” katanya.
Selain itu, Menteri Kesihatan itu juga berkata bilangan perokok di Malaysia masih tinggi iaitu 40.5 peratus di kalangan lelaki dan 20 peratus di kalangan wanita.
Khairy berkata mungkin ramai yang tidak menyokong rang undang-undang itu kerana berpandangan perbuatan itu akan menjejaskan sumber pendapatan negara dan industri pelancongan.
Pun begitu, jika dibiarkan kerajaan perlu menanggung kos rawatan kira-kira RM8 bilion untuk merawat masalah kesihatan yang dikaitkan dengan merokok.
Baca: Gelombang Baharu Covid-19 Bakal Melanda Malaysia Lebih Awal Dari Jangkaan – KJ