Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul nak keep up.
Tapi pada masa yang sama mesti korang pun nak tahu apa isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang kan?
Jadi macam biasa, #LobakMerahTop7 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia. Joms!
1. Krisis UNRWA
Tak cukup dengan serangan berterusan Israel selama empat bulan ini ke atas Palestin, baru-baru ini Israel telah mendakwa bahawa beberapa pekerja yang menguruskan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian Palestin (UNRWA) telah terlibat dalam serangan Hamas terhadap Palestin pada 7 Oktober lalu.
Dakwaan ini telah menyebabkan negara-negara barat yang menjadi penyumbang terbesar dana bagi bantuan yang menjadi talian hayat untuk lebih 2 juta pelarian di Gaza ini bertindak untuk menghentikan sumbangan mereka.
Selepas dakwaan tersebut diutarakan oleh Israel, Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa mereka akan berhenti memberikan dana kepada UNRWA dan tindakannya ini telah diikuti oleh beberapa negara lain termasuk Kanada, Australia, Jerman, Itali, Netherlands, Switzerland, Finland, Estonia, Jepun, Austria, Romania dan New Zealand.
Kalau korang nak tahu lebih lanjut lagi tentang krisis ini dan bagaimana ia memberi kesan yang sangat besar kepada penduduk-penduduk Palestin ini, baca artikel penuh di bawah ni:
Artikel berkaitan: Krisis UNRWA: Banyak Negara Umum Henti Beri Dana Pada Agensi Bantuan Untuk Palestin, Semua Gara-Gara…
2. Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah pun menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024 lalu selepas memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Kemudian pada 31 Januari 2024, Sultan Ibrahim telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun di mana Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu telah diadakan sebentar tadi pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Selain itu, Istana Negara turut memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Raja Permaisuri Agong yang telah dikemas kini. Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong Datuk Nazim Mohd Alim memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau turut memaklumkan bagi Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Artikel berkaitan: Sultan Ibrahim Angkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
3. Wanita Melayu, India rupanya adik beradik kandung
Baru-baru ini, tular satu cerita mengenai dua orang wanita India dan Melayu yang merupakan kawan baik sejak kecil ini mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya merupakan adik beradik kandung dari keluarga Cina. Eh macam mana pulak?
Mereka berdua sebenarnya lahir dalam sebuah keluarga bangsa Cina sebelum diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Ketika masih bayi, Puan Thangah atau nama sebenarnya Koh Siew Kiang sering jatuh sakit dan dikhuatiri akan membawa nasib malang kepada bapanya. Oleh itu, dia diserahkan kepada keluarga India ketika usianya 5 bulan.
Setahun selepas itu, Puan Fatimah atau nama sebenarnya Koh Siew Lang, telah lahir dan mendapati saiz ibu jari kakinya agak besar. Jadi tukang tilik berkata nasib malang akan menimpa kepada si ibu. Oleh itu, Puan Fatimah diserahkan kepada keluarga angkat Puan Thangah namun atas sebab tertentu, dia diserahkan pula kepada keluarga angkat Melayu ketika usia 2 bulan.
Artikel berkaitan: “‘Bestfriend’ Sejak Kecil, Wanita India & Melayu Ini Sebenarnya Adik Beradik Kandung
4. Mufti Pulau Pinang minta kerajaan batal konsert Ed Sheeran
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert susulan penganjuran konsert penyanyi pop antarabangsa Ed Sheeran yang bakal diadakan 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini kerana, penyanyi itu merupakan pendukung amalan maksiat yang dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah oleh semua agama serta seorang penyokong tegar kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT).
Namun begitu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengatakan bahawa tiada perubahan ke atas status kelulusan yang telah pun diberikan kepada Ed Sheeran ekoran proses kelulusan sebelum ini telah pun melibatkan persetujuan beberapa jabatan termasuk Jakim.
Artikel berkaitan: Mufti Pulau Pinang Minta Kerajaan Batalkan Konsert Ed Sheeran, Sebab…
5. Calon SPM serang pemuzik luar negara gara-gara listening test?
Instagram seorang pemuzik Amerika Syarikat, Kyle Green telah diserang oleh calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini gara-gara namanya digunakan dalam Ujian Pendengaran Bahasa Inggeris SPM dan sebilangan besar calon peperiksaan itu tidak dapat melakukan ujian tersebut dengan baik.
Walaupun watak fiksyen itu tidak mempunyai kaitan dengan pemuzik tersebut, ramai calon SPM yang menyerang akaun Instagramnya dengan komen dan mesej, malah ada juga yang mengganggunya melalui WhatsApp.
Disebabkan ini, penyanyi tersebut telah membuat video mengeluarkan kenyataan permohonan maaf.
Artikel berkaitan: “Kesian dia kena buat video” – Gara-gara ‘Listening Test’ SPM, Pemuzik Luar Negara Kena Serang?
6. Siti Nurhaliza kongsi perihal rumah tangga?
Semalam, penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza telah memuat naik beberapa perkongsian mengenai rumah tangga yang telah mencetuskan kebimbangan peminat-peminatnya.
Perkongsian yang dibuat secara umum melalui IG Stories itu telah kongsikan artikel seperti ‘6 Alasan Mengapa Suami Tak Boleh Membentak Isteri’, ‘Ujian Terbesar Seorang Isteri Adalah Suaminya’ serta satu ceramah mengenai layanan seorang bapa terhadap isterinya.
Beberapa peminat Siti Nurhaliza yang membaca perkongsiannya itu telah meluahkan kebimbangan mereka dan berharap segalanya baik-baik sahaja untuk penyanyi kesayangan mereka itu.
Namun begitu, Siti Nurhaliza telah pun memadamkan perkongsian tersebut.
Artikel berkaitan: “Okay ke tu?” – Perkongsian Siti Nurhaliza Perihal Rumah Tangga di IG Cetus Kebimbangan Netizen
7. Najib terima pengurangan hukuman 50%
Baru-baru ini terdapat desas-desus mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal dibebaskan selepas mendapat pengampunan dari Lembaga Pengampunan.
Namun begitu, berita tersebut telah dilaporkan palsu dan hari ini, Lembaga Pengampunan telah mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan bahawa sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan daripada Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda AI-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Oleh yang demikian, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Artikel berkaitan: Najib Razak Dapat Pengurangan 50% Hukuman & Denda, Bakal Bebas 23 Ogos 2028