Selepas menikam rakannya hingga maut, seorang lelaki bergegas ke balai polis dan menyerah diri. Menurut Harian Metro, lelaki itu datang ke balai polis dalam keadaan berlumuran darah serta turut membawa pisau yang digunakannya dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat pada jam 12.50 tengah hari, hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata suspek berusia 51 tahun tersebut ditemani adiknya ke balai polis pada jam 1.20 tengah hari.
Menurutnya, mangsa bekerja sebagai peniaga buah dan telah datang ke bengkel suspek untuk menuntut hutangnya dan berlaku pergaduhan antara mereka.
Mangsa dikatakan memukul suspek dan kemudian mencari pisau dalam bengkel sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Suspek juga mendakwa dia merampas senjata daripada mangsa dan menikam mangsa di leher dan perut.”
Ketika ia berlaku, adik lelaki suspek yang bekerja di bengkel itu dan anak lelaki mangsa berusia 15 tahun turut berada di lokasi kejadian yang juga bersebelahan dengan rumah keluarga suspek.
Polis mengenal pasti punca kejadian disebabkan oleh hutang namun siasatan lanjut masih diteruskan.”
Setakat ini, tiga saksi sudah diambil keterangan termasuk suspek dan lelaki itu bersama adiknya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”
Mangsa berusia 42 tahun itu maut akibat kecederaan parah selepas ditikam di leher dan perut. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.