Jika anda lahir pada tahun 90-an, pasti anda tahu akan komik Lawak Kampus keluaran Gempak Starz. Mula diterbitkan pada tahun 2003, Lawak Kampus menjadi kegemaran hampir semua kanak-kanak dan orang dewasa di Malaysia.
Lawak Kampus mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, malah turut dicetak dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin.
Komik lukisan Keith Chong ini turut mendapat sambutan daripada negara luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan China. Untuk rekod, komik Lawak Kampus menceritakan hitam putih kehidupan pelajar di alam persekolahan menengah yang lazim dengan pelbagai tabiat dan masalah.
Buat peminat Lawak Kampus, ada berita baik untuk anda! Studio Lil Creator Workshop baru-baru ini telah berjaya mendapatkan hak cipta daripada Kadokawa Gempak Starz (Gempak Starz) untuk menerbitkan Siri TV Anime buat Lawak Kampus.
Siri anime Lawak Kampus ini mensasarkan penonton daripada golongan kanak-kanak dan keluarga dari Asia Pasifik. Menurut sumber, siri anime ini akan berdurasi selama 10 minit untuk setiap episod.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kadokawa Gempak Starz kerana mempercayai kami untuk menerbitkan komik ini. Kami pasti akan bergembira dalam membangunkan karakter-karakter yang berwarna-warni dan seronok ini”, ujar Walid Omar, Pengarah Eksekutif Lil Critter Workshop.
Tak sabarnya nak tunggu siri anime Lawak Kampus ni siap! Agak-agaknya Xena suka Vanness lagi ke?
Sumber: Lil Critter Workshop
BACA: Menyeramkan! Sisi Gelap Industri Anime Yang Tidak Diceritakan Kepada Umum