Baru-baru ini, seorang pekerja kilang telah ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka kerana lewat menerima rawatan setelah mendapati dirinya positif Covid-19.
Menurut Berita TV9, situasi ini terjadi selepas Jabatan Kesihatan (JKN) Melaka dapat mengesan tindakan sebuah klinik swasta yang dipercayai telah memalsukan keputusan RTK-Antigen pesakit Covid-19.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Exco Kesihatan Melaka iaitu Dr. Muhammad Akmal Saleh dalam satu sidang media semalam selepas mendapati klinik tersebut telah memalsukan enam keputusan ujian saringan RTK.
“Terdapat aduan mengenai salah laku yang dilakukan oleh klinik swasta di negeri Melaka ini, iaitu ada satu klinik yang terlibat yang melibatkan memalsukan ujian RTK-Antigen daripada positif kepada negatif” – Dr. Muhammad Akmal Saleh
Ujarnya lagi, kes penipuan keputusan ujian saringan itu dapat dikesan kerana seorang pesakit Covid-19 mengakui keputusan awal miliknya di klinik tersebut adalah positif.
Namun, disebabkan tidak mahu menjalani kuarantin, keputusan positif miliknya telah diubah oleh salah seorang doktor di klinik swasta itu selepas dibayar upah dengan bayaran tertentu.
Tambah Dr. Muhammad Akmal Saleh lagi, laporan polis akan dibuat berkenaan dengan kejadian tersebut untuk membolehkan siasatan awal dijalankan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342.
Kini JKN masih lagi mengumpul bukti dan juga maklumat berkaitan dengan kes itu untuk diserahkan kepada boleh bagi memudahkan lagi urusan siasatan.
Baca: CEO Pfizer: Dos Keempat Vaksin Covid-19 Mungkin Diperlukan Kerana Varian Omicron