Kementerian Kesihatan Malaysia semalam mengumumkan, apabila Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) ditamatkan, kerajaan tidak akan memberikan dos pertama vaksin Pfizer secara percuma kepada kanak-kanak selepas 15 Mei.
Bagaimanapun, kanak-kanak berusia lima ke 12 tahun yang telah menerima dos pertama vaksin sebelum tarikh akhir masih boleh mendapatkan dos kedua Pfizer secara percuma.
Dalam kenyataan, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, bermula 16 Mei ibu bapa masih boleh vaksinkan anak tapi perlu bayar untuk mendapatkan vaksin Sinovac di kemudahan kesihatan swasta, lapor FMT.
Dengan pengumuman ini, ibu bapa mempunyai masa sehingga 15 Mei untuk membuat keputusan vaksinkan anak. Selepas tarikh ini, vaksin Pfizer tidak akan ditawarkan lagi di kemudahan kesihatan awam dan swasta di Malaysia.”
Menurut Noor Azmi, keputusan ini tidak tertakluk kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 atau kanak-kanak yang masih belum mencecah usia 5 tahun pada 15 Mei.
Kanak-kanak kategori ini masih boleh mendapatkan vaksinasi Covid-19 dengan mendaftar di aplikasi MySejahtera.
Sebagai persediaan sebelum tarikh tutup, jabatan kesihatan negeri telah mengambil pendekatan yang lebih aktif bagi membolehkan kanak-kanak dalam kumpulan ini divaksinasi.
Ibu bapa yang telah mendaftarkan anak-anak di dalam MySejahtera tapi masih belum divaksinasi akan dihubungi oleh pegawai kesihatan menerusi panggilan telefon, media sosial atau lawatan ke rumah.”
Manakala bagi ibu bapa yang masih belum mendaftarkan anak-anak, mereka boleh berbuat demikian sebelum 8 Mei.
Saya mendesak ibu bapa untuk tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan vaksin secara percuma menerusi PICKids sebelum tarik tutup. Pilih untuk vaksinkan anak anda bagi mengelakkan komplikasi dari Covid-19.”
Selain itu, Noor Azmi turut mengatakan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak telah membuat keputusan untuk membuang klausa bahawa ibu bapa bertanggungjawab terhadap risiko yang akan menimpa anak-anak.
Pemansuhan klausa ini adalah bertujuan bagi mengelakkan kekeliruan dan membuktikan bahawa KKM sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan kesihatan sekiranya terdapat kesan sampingan akibat vaksin.”
Baca: Pendaftaran PICKids Kini Melepasi 1 Juta, KJ Minta Ibu Bapa Henti Sikap ‘Tunggu & Lihat’