Baru-baru ini, satu dunia dikejutkan dengan berita kehilangan kapal selam milik Indonesia, KRI Nanggala 402. Status kehilangan kapal selam ini telah ditukar daripada ‘submiss’ (kapal selam hilang) kepada ‘subsunk’ (kapal selam karam).
Beberapa serpihan dan barang-barang ditemui berada di sekitar lokasi terakhir kapal selam itu dilihat, yang diyakini merupakan sebahagian komponen kapal selam berkenaan.
Untuk pengetahuan anda, ini bukanlah kemalangan pertama yang melibatkan kapal selam. Sebelum ini, beberapa kemalangan gempar melibatkan kapal selam pernah dilaporkan, salah satunya melibatkan negara Rusia.
Kapal selam Kursk
Kapal selam Kursk berteknologi peluru berpandu milik Rusia pernah tenggelam semasa mereka sedang melakukan latihan ketenteraan pada 12 Ogos 2000.
Insiden ini menjadi salah satu kemalangan maritim paling teruk yang pernah direkodkan dalam sejarah. Seramai 118 kru kapal selam dilaporkan terkorban.
The Kursk mengangkat sauh dari Rusia pada 10 Ogos 2000 untuk memulakan latihan ketenteraan berskala besar di perairan Barents.
Pada 12 Ogos, kapal selam berteknologi tinggi ini tiba di perairan Barents dan dijadualkan untuk melakukan latihan menembak torpedo.
Namun, di saat Kursk mahu memulakan latihan menembak, tiba-tiba berlaku satu letupan menyebabkan sebahagian kapal selam seperti ‘ternganga’ lalu tenggelam ke dasar laut.
Tiada siapa sedar
Hasil siasatan mendapati insiden tersebut disebabkan oleh satu daripada torpedo di dalam kapal selam tersebut meletup, mengakibatkan senjata yang lain terjejas.
Bagaimanapun, kejadian ini tidak disedari oleh pihak Rusia yang berada di perairan Barents. Simulasi perang masih diteruskan tanpa mengetahui nasib mereka di dasar laut.
Namun selepas beberapa hari, barulah berita berkenaan kapal selam itu sampai ke Moscow dan satu dunia.
Rusia tolak bantuan negara luar
Mendengar berita melibatkan kapal selam Rusia, banyak negara luar yang mahu menghulurkan bantuan menyelamatkan kru-kru yang mungkin masih selamat. Namun, ditolak oleh pihak Rusia.
Setelah seminggu karam, misi menyelamatkan kapal selam tersebut dimulakan pada tarikh 19 0gos 2000. Apa yang mengejutkan mereka adalah tiada seorang pun yang selamat, dan sukar untuk menemui jasad kru-kru kapal selam.
Pihak luar mula menekan Presiden Rusia pada ketika itu, Vladimir Putin agar mengangkat bangkai Kursk dari dasar laut untuk tujuan siasatan.
Akhirnya Putin bersetuju dengan tuntutan mereka untuk mengangkat bangkai kapal selam yang berada di dasar laut Barents. Sayangnya, hanya separuh kapal yang berjaya diangkat, selebihnya masih di dasar laut Barents.
Penuh teori konspirasi
Meskipun laporan mengatakan kejadian ini disebabkan oleh letupan daripada torpedo, muncul beberapa teori konspirasi berkenaan letupan tersebut.
Laporan Sunday Times dan Berliner Zeitung menjangkakan kapal selam Kursk tenggelam kerana ‘friendly fire’ dari Pyotr Velikiy, aset ketenteraan lain milik Rusia.
Namun, sebab sebenar kejadian menyayat hati ini masih kekal misteri sehingga ke hari ini.
Dijadikan filem
Kejadian menyayat hati ini masih dikenang sehingga ke hari ini. Buat anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Kursk, boleh tonton filem ‘Kursk’ yang ditayangkan pada tahun 2018.
Kredit: Liputan6, The Guardian
BACA: [VIDEO] Tular Kapten & Kru KRI Nanggala 402 Nyanyi Lagu ‘Sampai Jumpa’