Baru tiga hari kita berpuasa, sudah ada bermacam rungutan yang dikongsikan netizen di media sosial mengenai makanan yang dibeli di bazar Ramadan.
Terbaharu, seorang pembeli meluahkan rasa kecewa apabila mendapati sup daging yang mahu dinikmatinya berbau dan terdapat telur lalat.
Menerusi perkongsiannya di Group Facebook Bazar Ramadhan Delivery Melaka 2020, dia yang datang dari Johor Baharu singgah di bazar Melaka kerana teringin menikmati juadah sup daging kawah untuk berbuka puasa.
Artikel berkaitan: Netizen Geram Peniaga Bazar Ramadan Aniaya Pelanggan, Pulut Panggang Didakwa Keras Macam Kayu
Artikel berkaitan: Peniaga Bazar Dakwa Kos Bahan Mentah Mahal Punca Harga Juadah Naik, Netizen Kata Nak Boikot
Peniaga berkeras jual 2 bekas
Dakwa wanita itu, juadah berkenaan dijual pada harga RM5 sebekas dan dia telah menghulurkan wang RM10 untuk membeli cuma satu bekas, namun peniaga tersebut berkeras memintanya membeli dua bekas dan enggan memulangkan baki.
“Saya cuma nak satu bekas saja sebab hanya saya seorang yang nak makan. Penjual ini tetap berkeras dengan memberikan saya lagi semangkuk sup kosong tanpa isi daging.
“Saya masih menunggu baki pulang saya tetapi pakcik ini tetap jual dua bekas tanpa daging pada saya dengan RM10. Saya akur,” ujarnya.

Setibanya di rumah untuk berbuka puasa, dia mendapati terdapat telur lalat di bahagian rongga tulang dalam bekas sup itu. Malah, juadah itu juga dikatakan sudah berbau.
Menurutnya, niatnya meluahkan kekecewaan di media sosial bukan untuk memalukan penjual terbabit, namun agar penjual lain juga berhati-hati supaya insiden seperti ini tidak berlaku lagi.
“Inikah yang dikatakan sedap? Daging berbau membuatkan saya sangat terkilan dan kecewa.
“Mohon sesiapa yang nampak post saya ini, kirimkan salam kepada penjual. Kita jumpa di akhirat,” tulisnya lagi.

Hantaran itu telah mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata pengguna turut terkilan dengan sikap penjual yang mementingkan diri.
Ada yang mengatakan mungkin penjual terbabit tidak perasan ketika mengendalikan makanan namun tindakan memaksa membeli dua bekas sup daging tidak patut dilakukan.
Hmm mungkin ada salah faham? Harap peniaga di luar sana peka ketika berniaga.
Sumber: Sinar Harian
