Penafian: Artikel ini mengandungi gambar/video/penulisan yang mungkin kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Kebijaksanaan pembaca amat diharapkan.
Macam yang korang semua tahu, di India sekarang sedang kecoh tentang kes Dr Moumita Debnath yang telah dirogol dan dibunuh ketika sedang berehat selepas bekerja selama 36 jam di hospital.
Disebabkan kes ini, protes telah dijalankan di seluruh India bagi menuntut keadilan atas kematian Dr Moumita serta menggesa kerajaan untuk mengubah undang-undang bagi memastikan keselamatan wanita di sana lebih selamat.
Kalau korang nak tahu, kes ini juga turut menyebabkan kes pembunuhan Nirbhaya yang pernah berlaku 12 tahun lalu diungkit kembali. Malah, pelakon Bollywood terkenal, Kareena Kapoor turut bercakap mengenai perkara ini.
Kes Nirbhaya merujuk kepada kes rogol beramai-ramai dan bunuh seorang wanita muda di Delhi, India pada November 2012 yang lalu. Kes ini telah mendapat perhatian orang di seluruh dunia serta protes besar-besaran yang dibuat di seluruh India. Baca kisah penuhnya di bawah.
Artikel berkaitan: “Takde hati perut!” – Kronologi Pembunuhan Kejam Dr Moumita Debnath, Dir*gol Hampir 20 Lelaki Ketika Sedang Berehat
Artikel berkaitan: Pasangan ‘Traveller’ Dari Sepanyol Kongsi Kisah Tragis, Kena Rompak & Isteri Kena Rogol 7 Lelaki Di India
Insiden rogol dan bunuh Nirbhaya
“Nirbhaya” yang bermaksud “berani” dalam bahasa Hindi merupakan nama yang diberikan untuk mangsa dalam kes ini ekoran undang-undang rogol di India tidak membenarkan nama sebenar mangsa didedahkan.
Pada malam 16 Disember 2012, Nirbhaya atau nama sebenarnya Jyoti Singh yang baru berusia 23 tahun telah diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menonton filem Life of PI bersama rakan lelakinya, Awindra Pratap Pandey.
Mereka berdua telah menaiki bas peribadi di Munirka yang terletak di Selatan Delhi. Di dalam bas tersebut terdapat enam lelaki lain termasuk pemandu bas. Bas ini mula bergerak dan telah melencong dari destinasi sebenar sebelum mereka menutup pintu bas tersebut.
Merasakan ada yang tak kena, Pandey mula membantah meminta pemandu bas tersebut untuk ke destinasi sebenar sebelum dia dimarahi. Pergaduhan mula berlaku apabila lelaki-lelaki di dalam bas yang dalam keadaan mabuk ini mula mencabul Nirbhaya.
Pandey telah dipukul menggunakan batang besi sebelum Nirbhaya diheret ke belakang bas dan dirogol beramai-ramai selama lebih satu jam.
Lebih teruk lagi, apabila wanita ini cuba melawan, salah seorang penyerangnya yang baru berusia 17 tahun pada ketika itu telah menggunakan batang besi yang sama digunakan untuk memukul Pandey dengan memasukkannya ke dalam kemaluan Nirbhaya sehingga merosakkan organ dalamannya dan ususnya terkeluar dari badannya.
Sepanjang kejadian kejam ini berlaku, pemandu bas tersebut telah memandu bas mengelilingi Delhi dan selepas selesai, Nirbhaya dan Pandey telah dibuang dari bas di tepi jalan dan pasangan ini telah ditemui hampir mati oleh orang lalu lalang yang telah membuat laporan kepada Polis Delhi.
Nirbhaya dan Pandey telah dibawa ke Hospital Safdarjung, Delhi di mana doktor di sana mendapati bahawa hanya 5 peratus dari ususnya telah tinggal di dalamnya. Ekoran keadaannya yang kritikal, dia turut diterbangkan ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk mendapatkan lawatan lanjut, namun wanita ini telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada 29 Disember 2012.
Dalam kenyataannya sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia berkata dia mahukan keadilan serta mahu kesemua enam penyerangnya menerima balasan.
Perbicaraan kes Nirbhaya
Polis Delhi telah menangkap kesemua enam tertuduh beberapa hari selepas insiden tersebut:
- Ram Singh – pemandu bas dan tertuduh utama
- Mukesh Singh – adik Ram Singh
- Vinay Sharma – pembantu gimnasium
- Pawan Gupta – penjual buah
- Akshay Thakur – pembantu bas
- Mohammed Afroz – seorang juvana yang baru berusia 17 tahun ketika jenayah tersebut berlaku
Menurut laporan, enam lelaki ini telah makan dan minum bersama-sama sebelum kejadian ini. Walaupun bas yang dipandu oleh Ram Singh tidak dibenarkan untuk digunakan bagi mengambil penumpang awam atau beroperasi di Delhi ekoran tingkapnya yang telah digelapkan, mereka telah membuat keputusan unutk membawa keluar bas ini untuk bersuka ria.
Awindra Pratap Pandey telah membuat kenyataan di mahkamah pada 19 Disember 2012 meluahkan rasa bersalah dan trauma yang dialaminya ekoran insiden ini.
Ram Singh telah ditemui mati di dalam selnya di Penjara Tihar pada Mac 2013 dipercayai membunuh diri. Manakala remaja yang terlibat telah dibicarakan di mahkamah juvana dan dihukum penjara tiga tahun iaitu hukuman maksimum di bawah undang-undang India untuk pesalah bawah umur.
Empat yang lainnya telah dibicarakan di mahkamah fast-track dan pada 10 September 2013, mereka telah didapati bersalah atas kesalahan merogol, membunuh dan kesalahan lain membuatkan mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Keempat-empat tertuduh ini kemudiannya telah membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Delhi dan kemudiannya Mahkamah Agung India. Pada Mei 2017, Mahkamah Agung telah mengekalkan hukuman mati.
Kesemua pesalah ini kemudiannya telah dihukum gantung pada 20 Mac 2020 di Penjara Tihar sekaligus menutup kes ini yang telah berlanjutan selama tujuh tahun.
Kesan kes Nirbhaya
Jenayah kejam ini telah menyebabkan kemarahan di seluruh India. Apabila berita ini tular, ribuan orang di seluruh India telah melakukan protes untuk menuntut keadilan ke atas Nirbhaya serta menuntut perlindungan kepada wanita.
Protes ini lebih banyak dibuat di Delhi di mana orang ramai telah berkumpul di lokasi-lokasi utama seperti India Gate dan Jantar Mantar. Kebanyakan protes ini dijalankan secara aman namun begitu terdapat beberapa insiden di mana polis telah menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan memukul orang ramai menggunakan kayu baton.
Kes ini juga telah menjadi simbol menunjukkan kesusahan wanita di India untuk mempertahankan hak mereka.
Kalau korang nak tahu dengan lebih lagi tentang kes ni, korang jugak boleh tengok siri Delhi Crime di Netflix.
Sumber: TOI, Hindustan Times