Baru-baru ini tular satu dakwaan mengatakan seorang guru telah menggigit bibir seorang murid sekolah rendah. Lebih buruk lagi, ibu kanak-kanak ini mendakwa bahawa dia mempunyai bukti bahawa guru tersebut gemar menggigit bibir pelajar tak kira perempuan atau lelaki dan terkenal dengan ‘perangai’ tersebut.
Jika benar dakwaan yang dibuat oleh ibu ini, dapat dilihat guru tersebut boleh senang melakukan serangan seksual seperti ini ke atas pelajar-pelajarnya kerana ramai di antara mereka yang memilih untuk tidak mengadu kepada ibu bapa mereka.
Cerita-cerita seperti ini jelasnya membuatkan ramai ibu bapa yang risau dengan keselamatan anak di sekolah malah mengikut kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) dianggarkan sebanyak 1 dari enam kanak-kanak lelaki dan 1 dari empat kanak-kanak perempuan telah didera secara seksual sebelum berusia 18 tahun.
Lebih menakutkan, majoriti pelaku adalah orang yang dikenali oleh kanak-kanak ini di mana hanya 10 peratus pelaku adalah orang yang tak dikenali dan 23 peratus pelaku merupakan rakan sebaya!
Sebagai ibu bapa dah tentunya kita mahu memberikan anak kita perlindungan sepanjang masa, namun begitu, tak banyak yang boleh dilakukan bila kita perlu keluar bekerja atau anak perlu menghadiri sekolah.
Jadi, apa yang kita boleh lakukan untuk mengelak anak-anak dari menjadi mangsa seksual adalah dengan membuat penyediaan awal di rumah bagi menyelamatkan mereka dan sekaligus memberi perlindungan secara tak langsung.
1. Cakap tentang tubuh badan
Bermula dari bayi, korang boleh bercakap dan ajar anak korang untuk mengenali nama tubuh badan mereka menggunakan nama yang betul seperti “payudara”, “zakar” atau “faraj” dan elak menggunakan nama-nama manja seperti “nenen”, “bebird”, “shame-shame” dan sebagainya.
Dengan penggunaan nama yang betul, kita boleh menggalakkan anak untuk bercakap mengenai tubuh badan mereka sekiranya mereka mempunyai soalan atau mahu meluahkan sesuatu.
Sekiranya kita gunakan nama samaran lebih-lebih lagi untuk bahagian alat sulit, ini menyebabkan mereka akan diajar dari kecil untuk rasa malu memberitahu sesuatu yang berkaitan dengan alat sulit sehingga memilih untuk pendam sendiri.
2. Ajar anak tentang alat sulit
Beritahu anak korang yang alat sulit mereka dipanggil alat sulit kerana ia bukan untuk ditonton oleh orang ramai. Korang perlu terangkan yang korang sebagai ibu bapa boleh tengok dorang bogel tapi orang dekat luar tak boleh.
Selain itu, korang juga boleh jelaskan yang doktor boleh tengok dorang tanpa pakaian sebab korang ada dengan dorang dan doktor hanya nak periksa badan.
3. Ajar anak ‘boundaries’
Sejak dari kecil, korang perlu ajar anak yang tak ada orang boleh sentuh bahagian-bahagian alat sulit mereka dan tak ada orang yang boleh menyuruh mereka untuk menyentuh alat sulit orang lain.
Ramai ibu bapa sekarang dah mula sedar tentang perkara ini dan mula mengajar anak untuk tidak membenarkan orang lain menyentuh alat sulit mereka tapi ramai yang lupa untuk mengajar mereka untuk tidak menyentuh alat sulit orang lain bila disuruh.
Kalau korang nak tahu, kebanyakan penderaan seksual bermula apabila pelaku mula meminta kanak-kanak untuk menyentuh mereka atau orang lain.
4. Jangan berahsia
Kebanyakan pelaku akan memberitahu kanak-kanak untuk merahsiakan penderaan seksual yang diterima sama ada melalui cara lembut seperti “saya suka main dengan awak tapi kalau awak bagitahu kita main sama-sama nanti orang tak kasi saya datang dah.” Atau pun mereka akan buat ugutan seperti “ni rahsia tau. Kalau awak bagitahu sesiapa, saya akan cakap awak yang suruh dan awak akan kena marah.”
Sebab tu korang kena selalu ingatkan anak korang untuk tak simpan rahsia lebih-lebih lagi berkaitan dengan tubuh badan dan dorang perlu bagitahu korang kalau ada orang suruh dorang simpan rahsia yang ada kena mengena dengan tubuh badan.
5. Jangan bagi orang ambil gambar anak sulit
Zaman sekarang, anak-anak telah didedahkan dengan media sosial pada usia yang muda. Jadi, ramai pelaku yang mengambil peluang untuk mengeksploitasi pemikiran kanak-kanak melalui perantara ini.
Ramai pedofil di luar sana suka mengambil gambar dan menyebarkan gambar bogel kanak-kanak di dalam talian. Suka atau pun tidak, anak korang berisiko kepada perkara ini. Jadi, sangat penting untuk korang beritahu anak-anak untuk tak bagi orang ambil gambar anak sulit dorang atau beri gambar anak sulit pada orang.
6. Ajar anak cakap “tak nak”
Ada kanak-kanak yang tak selesa untuk cakap “tak nak” dengan orang lebih-lebih lagi pada orang dewasa atau lebih tua. Jadi, korang perlu ajar anak korang bahawa mereka boleh cakap “tak nak” berada di situasi yang tak selesa atau beri alasan untuk meminta diri seperti cakap nak ke tandas atau pulang ke rumah.
Selain tu, sekiranya anak korang tak selesa untuk salam, peluk atau cium saudara mara jangan paksa anak korang. Jika dipaksa, dorang akan fikir yang dorang perlu sentiasa ikut cakap orang walaupun tak selesa atau tak suka.
7. Yakinkan anak yang dorang takkan kena marah
Sebab utama kanak-kanak memilih untuk tidak beritahu ibu bapa sekiranya mereka terdedah dengan penderaan seksual atau amang seksual kerana takut dimarah.
Jadi, sebagai ibu bapa korang perlu yakinkan anak korang yang korang adalah tempat yang selamat untuk dorang bercerita tentang semua benda supaya dorang percayakan korang dan tak takut untuk berterus terang.
Walaupun ajar anak-anak tentang perkara-perkara ini tak dapat elak seratus peratus anak dari menjadi mangsa seksual, namun pengetahuan yang diterima oleh mereka tentang perkara ini boleh membuatkan mereka faham dan dapat elak dari situasi tersebut.
Sumber: Child Mind Institute
Baca: “Semua budak lari takut” – Ibu Dedah Cikgu Suka Gigit Bibir Murid, Anak Trauma Ke Sekolah