Seramai 40 pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di sebuah hotel di Hatyai, Thailand kini berdepan kekurangan makanan apabila mereka hanya menikmati bubur nasi yang dicatu, selain seorang pelajar pembawa talasemia dilaporkan kehabisan ubat.
Kesemua mereka tidak dapat keluar membeli ubat atau makanan kerana paras air banjir menenggelami kawasan sekitar.
Kumpulan pelajar berkenaan merupakan peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan dijadualkan pulang pada Sabtu lalu, namun terperangkap di hotel susulan banjir besar yang turut memutuskan bekalan elektrik serta air.
Artikel berkaitan: Jangan Ambil Remeh, Ini 5 Penyakit Bawaan Air Ketika Musim Banjir
Artikel berkaitan: “Isteri tengah berpantang anak ke-4” – Banjir Di Hatyai Bongkar Suami Rupanya Pergi Bercuti Dengan Skandal Pejabat
Mereka difahamkan terkandas di Wangburapa Grand Hotel dan Hatyai Paradise.
Menurut salah seorang pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, 21, keadaan mereka semakin mencemaskan apabila bekalan makanan semakin susut, selain gangguan internet yang kerap berlaku.
“Keadaan kami terkawal… tapi makanan makin sedikit. Kami cuma makan bubur yang dicatu.
Hujan tak berhenti, air makin naik. Kami tak boleh keluar. Kami benar-benar perlukan bantuan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seorang rakan mereka yang juga pembawa talasemia kini berisiko mengalami masalah kesihatan serius selepas kehabisan ubat yang perlu diambil secara berkala bagi menstabilkan hemoglobin.
“Kami lihat bot lalu dua tiga kali, tapi tak berhenti. Kami hanya berdoa satu daripada bot itu akan hulurkan makanan,” katanya.
Sementara itu, dua pensyarah pengiring, Dr Mohd Hadzrami Harun Rasit dan Dr Muhammad Harith Zahrullail sanggup meredah air sedalam hampir satu meter bagi memeriksa keadaan pelajar serta memastikan tiada yang jatuh sakit atau panik.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) yang menjalankan tugas Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata pihak universiti sentiasa berhubung dengan Konsulat Malaysia di Hatyai dan ibu bapa pelajar bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Sumber: Berita Harian
