Pendedahan terhadap bahayanya produk kosmetik dan ubat kurus badan oleh kerajaan dan doktor-doktor yang terkenal di laman sosial telah membuka mata banyak pihak. Golongan penjual mungkin tidak menyetujuinya, namun kesedaran pengguna sedikit sebanyak telah menghentikan penularan ubat-ubatan tersebut dengan lebih berleluasa.
Pun begitu, selain daripada ubatan yang berkaitan kecantikan, masihkah anda ingat akan supplemen yang kononnya boleh meningkatkan kecerdasan minda kanak-kanak? Menerusi entri terbaru Dr Rafidah Abdullah di Facebook, dia menjelaskan bahawa ibu bapa patut berhenti mempercayai produk mengarut seperti ubat minda.
“Produk minda TIDAK wujud! Hentikan mempercayai produk-produk mengarut untuk kanak-kanak, remaja. Bayi memang sah tak boleh. Jadi, jika nak pandai dan berjaya, BUKAN harapkan produk minda. Usaha adalah tangga kejayaan. Produk sebegitu TIDAK jadikan mereka pandai. Itu bukan caranya,” kata Dr Rafidah.
Isu ini mula dibincangkan apabila seorang pengguna Twitter telah bertanyakan mengenai hal keberkesanan produk berkenaan kepada Dr Rafidah. Menurutnya, setiap kali peperiksaan menjelma, para ibu akan membeli ubat tersebut yang juga disarankan oleh sesetengah doktor.
Dalam pada itu, Dr Rafidah juga menjelaskan bahawa pelajar cemerlang seperti Dr Amalina Bakri yang mendapat 17A1 pun tidak menggunakan supplemen seperti itu, malah dia masih boleh mendapat tiga ijazah dan berusaha memperoleh PhD serta bakal menjadi pakar bedah tidak lama lagi.
“Ibu bapa pun agak-agaklah. Berilah dorongan yang sepatutnya, bukan sogokkan produk!
“Kalau telan satu lori produk pun, kalau tak ada usaha takkan jalan punya!!! Buat tambah bebanan organ ada lah,” kata Dr Rafidah lagi.
Sementara itu, Dr Rafidah juga mengatakan tidak ada masalah bagi mereka yang ingin memberi anak makan makanan sunnah. Namun makanan tersebut haruslah segar dan bukannya yang sudah menjadi produk. Hmm betul juga tu kan!
Tweet Dr Rafidah mengenai produk minda itu juga mendapat respon pengguna Twitter yang rata-rata mengakui tertipu dan yang menerima side effect yang teruk selepas mengambil ubatan tersebut.
“Usaha, tangga kejayaan. Takkan ada kejayaan akademik atau apa pun yang datang golek-golek. NO SHORT CUT,” ujar Dr Rafidah di akhir entri.
Betul jugak kata doktor tu. Kalau setakat telan ubat tapi tak berusaha pun tak ada guna jugak. Berusahalah bersungguh kalau nak hasil yang baik.
Baca: Padah Beli Produk Online! Muka Wanita Ini Mula Membengkak, Pedih dan Kemerahan