Tindakan seorang guru yang memuat naik hantaran jelik berkaitan kemalangan maut yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengarahkan satu siasatan berhubung hantaran guru berkenaan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, satu laporan lengkap perlu disediakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selaras dengan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM berkaitan pengurusan isu.
Artikel berkaitan: Peguam Selar Kenyataan Individu Mengenai Kematian Penuntut UPSI Sebagai ‘Tidak Beriman’ dan Masih Berhutang PTPTN
Artikel berkaitan: “Stop lah buat, hormat keluarga mangsa” – Netizen Kecam Tindakan Buat Gambar AI Nahas Pelajar UPSI
Siasatan mendapati pemilik akaun Facebook tersebut merupakan seorang pendidik yang bertugas di salah sebuah sekolah menengah di Perak, lapor Sinar Harian.
Khairudin turut menyuarakan rasa kesalnya terhadap tindakan guru terbabit yang dianggap tidak berperikemanusiaan kerana mempersenda kematian mangsa tragedi.
“Saya kesal atas tindakan pemilik akaun Facebook berkaitan dengan tragedi pelajar UPSI.
“Pihak PPD telah menghubungi pengetua dan menasihati guru tersebut untuk memadamkan hantaran berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, semakan pada jam 8.10 malam Selasa mendapati hantaran berkenaan telah pun dipadamkan.
Guru mohon maaf, dakwa hidap penyakit skizofrenia
Terdahulu, hantaran guru terbabit mengundang kontroversi apabila dia menyatakan kematian kesemua mangsa itu adalah sebagai dalam keadaan hina.
Selain itu, dia menyifatkan mangsa bukan dalam kalangan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Guru itu yang mendakwa menghidap penyakit skizofrenia bagaimanapun telah memuat naik hantaran permohonan maaf.
Dalam perkembangan lain, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hutang pinjaman PTPTN kesemua mangsa korban dalan nahas itu akan dilupuskan sepenuhnya.
Sumber: Sinar Harian