Siapa yang tidak mengenali Sajat, seorang usahawan berjaya dan sering kali berkongsi tentang kehidupannya di laman sosial. Dari hari ke hari ramai yang semakin keliru dengan jantina sebenarnya kerana Sajat sudah berani menayangkan teman lelaki serta mempunyai anak angkat yang memanggilnya dengan panggilan Umi.
Memandangkan Malaysia merupakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan Sajat sendiri merupakan seorang Islam, maka ramai yang menyuarakan pendapat supaya pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya. Baru-baru ini sebuah video rakaman perbualan Papagomo melaporkan tentang Sajat kepada pihak berkuasa tersebar di Facebook
Papagomo memberitahu bahawa Sajat membawa pengaruh yang tidak baik kerana golongan muda yang mempunyai sifat lembut mula berani mengikut jejak langkahnya. Sejak itu, menurut mStar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah pun menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Sajat.
Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, JAKIM, Dr. Izwan Yusof yang juga merupakan pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah mengeluarkan mesej terbuka melalui Facebook miliknya untuk bertemu Sajat bagi berbincang berkenaan situasi dan keadaannya.
Selain itu, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha juga turut bersetuju bertemu dengan Sajat melalui Twitter miliknya. Dr. Izwan berkata bahawa JAKIM mengambil sikap berkecuali berkenaan hal membabitkan Sajat di media sosial kerana mereka perlu mengetahui masalah sebenar yang dihadapi serta akan mengambil maklum dengan tohmahan daripada netizen kepada Sajat.
Saya dan rakan-rakan di JAKIM sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam.”
Sementara itu, menurut mStar, Sajat mengaku sedia berjumpa dengan JAKIM sekiranya pertemuan itu dilakukan secara berhemah demi kebaikan bersama. Terang Sajat, dia tiada menerima sebarang maklumat lain mengenai pertemuan tersebut dan memberitahu jika ingin berjumpa, boleh mencarinya di Wisma Nur Sajat.
Walau bagaimanapun, Sajat ibarat kurang senang dengan tindakan JAKIM yang mengeluarkan mesej secara terbuka dan bukannya berhubung dengannya secara langsung. Selain itu, Sajat memberitahu segelintir pihak tidak bertanggungjawab mencemburuinya yang semakin berjaya dalam bidang perniagaan sehingga mengaitkan dirinya dengan kekeliruan identiti.
“Saya sedia berjumpa dengan JAKIM tapi biarlah ia dibuat secara berhemah. Kalau elok antara kedua-dua pihak, kenapa tidak? Kita boleh berjumpa, tak ada masalah pun. Sajat tahu di pihak yang benar, bukannya buat kerja-kerja yang tidak elok.”
Harap pertemuan yang bakal berlaku dapat menjawab persoalan masyarakat.