Baru-baru ini tular kisah seorang wanita yang didakwa bertindak mengahwini lelaki lain ketika masih bergelar isteri sah, sekali gus ‘memadukan’ suaminya sendiri di Tanah Merah, Kelantan.
Susulan pendedahan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
Perkara tersebut disahkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud, yang memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.
Menurutnya, Seksyen 38 melibatkan kesalahan membuat akuan atau pernyataan palsu bagi tujuan perkahwinan, manakala Seksyen 40 pula berkait rapat dengan kesalahan berkaitan akad nikah.

Artikel berkaitan: “Wanita ini bertegas nak kahwin” – Nur Nilam Izinkan Azlan Komeng Berkahwin Dua
Artikel berkaitan: Pernah Buat IVF, Abang Tesla Nafi Zuriat Jadi Alasan Untuk Kahwin Dua
Mohd Asri turut menegaskan bahawa kes berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mencemarkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan.
Sebelum ini, tindakan wanita terbabit terbongkar selepas rahsia perkahwinan keduanya dihidu oleh ahli keluarga mentua, termasuk adik iparnya yang dikenali sebagai Nur, pada 6 Disember lalu.
Difahamkan, Nur bersama anggota polis dan penduduk setempat telah pergi ke sebuah rumah di Batu 11, Tanah Merah bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, lelaki yang didakwa ‘dimadukan’ oleh isterinya memaklumkan bahawa dia sebenarnya telah menceraikan wanita berkenaan pada 15 Januari 2022, namun penceraian itu masih belum dilaporkan kepada Pejabat Agama Islam.
Sumber: Sinar Harian
