Di sebalik bencana banjir yang melanda bandar Hatyai, Thailand, tersingkap kisah perit seorang isteri.
Tular di laman Threads, kisah seorang isteri yang meminta bantuan untuk menyelamatkan suaminya yang terkandas di sana akibat banjir.
Menurut pengguna yang dikenali sebagai Sarah, lelaki itu terperangkap dan tidak dapat dihubungi sehingga membuatkan isterinya bimbang.
Katanya, isteri tersebut mahu suaminya diselamatkan terlebih dahulu kerana anak-anak mereka masih kecil dan memerlukan bapa mereka.
“Seorang rakan (isteri itu) menghubungi saya. Dia meminta jika saya boleh carikan suaminya yang terkandas dalam hotel di Hatyai bersama tiga lagi rakan sekerjanya. Mereka semua pegawai bank dari Penang,” kata Sarah seperti yang dipetik NST.
Artikel berkaitan: Suami Dakwa Isteri Curang Dengan Pemain Bola Sepak Import, Sudah Beberapa Kali ‘Check In’ Hotel
Artikel berkaitan: Sukarelawan Terkedu Mangsa Banjir Di Hatyai Tidak Mahu Diselamatkan Sebab Belum Waktu ‘Check-out’

Sarah kemudian meminta bantuan sepupunya yang tinggal di Thailand untuk menjejaki lokasi suami wanita itu, namun penemuan sebenar mendedahkan situasi yang tidak dijangka.
“Apabila sepupu saya sampai ke lokasi itu, dia mendapati lelaki itu masih berada di sana kerana kenderaan mereka telah terperangkap dalam banjir.
“Namun, staf hotel itu turut mendedahkan butiran yang tidak dijangka. Katanya, salah seorang lelaki yang merupakan suami rakan saya itu tinggal sebilik bersama seorang wanita yang diperkenalkan sebagai ‘isteri’.
“Ketika itulah kami mengetahui bahawa dia bersama wanita lain,” kata Sarah.
Tambah Sarah, dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu hal tersebut kepada rakannya kerana wanita itu sedang berpantang anak keempat.
“Saya belum pasti sama ada untuk memberitahunya terus, tapi saya bercadang untuk memaklumkan kepada kakaknya terlebih dahulu,” katanya.
Perkongsian Sarah meraih perhatian ramai, rata-rata netizen bersimpati terhadap isteri lelaki berkenaan.
Sumber: NST
