in

“Ikat dekat jeriji tingkap tak bagi makan” – Isteri Polis Mengaku Dera Amah, Berat Mangsa Tinggal 24KG Sebelum Meninggal

Isteri kepada seorang pegawai polis di Singapura didapati bersalah atas 28 tuduhan mendera pembantu rumah warganegara Myanmar sehingga maut dan dikenakan penjara seumur hidup.

Apa yang menyedihkan lagi, waktu terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir, berat mangsa hanya 24 kg sahaja.

Rakaman pembantu rumah itu dicengkam rambut dan digoncang itu dimainkan di mahkamah pada hari Selasa (23 Februari).

 

Dera, tak bagi makan 

Pada mulanya pelaku menafikan sebelum mengakui bahawa dia telah menyebabkan mangsa kelaparan, menyeksa dan membunuh pembantu Myanmar yang berusia 24 tahun.

Selama hampir 10 bulan, pembantu rumah, Piang Ngaih Don, diserang secara fizikal hampir setiap hari, kekurangan makanan dan rehat, dan terpaksa mandi dan buang air dengan pintu bilik air terbuka, lapor Straits Times.

Dalam 12 hari terakhir hidupnya, dia diikat pada jeriji tingkap pada waktu malam sambil tidur di lantai.

Beratnya hanya 24 kg ketika dia meninggal pada 26 Julai 2016 setelah kehilangan 38 peratus daripada berat asal  sejak dia mulai bekerja untuk keluarga kejam ini pada 28 Mei 2015.

Salah satu rakaman CCTV yang dipasang oleh pelaku Gaiyathiri dan suaminya, Kevin Chelvam, 41 di pelbagai sudut rumah mereka untuk mengawasi pembantu dan dua anak mereka itu menunjukkan anak lelaki mereka yang berusia 1 tahun dilihat sedang berjalan-jalan ketika ibunya menyerang pembantu rumah tersebut.

Ibu Gaiyathiri, Prema S. Naraynasamy, 61, yang selalu kerumahnya juga dilihat dalam rakaman itu, mereka berdua menghadapi pelbagai tuduhan yang berkaitan dengan mangsa.

Pihak pembela meminta hukuman penjara dikurangkan iaitu selama 14 tahun untuk Gaiyathiri, kerana dia mengalami gangguan kemurungan ketika dia hamil dengan anaknya, dan ia menyebabkan gangguan personaliti.

Tetapi pendakwa raya berpendapat bahawa keadaan psikiatrinya telah diperhitungkan ketika tuduhan berkaitan kematian Piang, bagaimanapun Hakim See Kee Oon akan memberikan keputusannya mengenai hukuman itu di kemudian hari.

 

Tidur hanya 5 jam

Mahkamah mendengar bahawa Piang, yang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun, bekerja di luar Myanmar untuk pertama kalinya itu tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit atau cuti.

Gaiyathiri tidak senang dengan prestasi kerja dan merasakan bahawa dia lambat, tak pandai jaga kebersihan dan makan terlalu banyak.

Dia menetapkan peraturan yang melibatkan kebersihan dan tata tertib, dan akan berteriak jika dia merasa Piang tidak dengar kata dan ia jadi meleret sehingga menyebabkan penderaan fizikal pada bulan Oktober 2015.

Rakaman CCTV juga menunjukkan Gaiyathiri simbah air sejuk pada Piang, menampar, menolak, menumbuk, menendang dan menghentaknya semasa dia terbaring di lantai.

Dia juga memukul Piang dengan objek tumpul seperti botol plastik, senduk logam, menarik rambut, cucuh dengan besi panas dan mencekiknya.

Makanan yang diberikkan adalah roti yang direndam dalam air, makanan sejuk terus dari peti sejuk atau nasi pada waktu malam.

Dia dibenarkan tidur hanya kira-kira 5 jam pada waktu malam dan disuruh melakukan tugasnya dengan memakai topeng muka berlapis-lapis jika Gaiyathiri anggap mangsaa tidak sihat.

Antara jam 11.40 malam dan 11.55 malam pada 25 Julai, Gaiyathiri menyerang Piang kerana terlalu lama mencuci pakaian.

Gaiyathiri dan Prema kemudian bergiliran menyimbah air kepadanya dan menyerangnya serta membiarkan Piang diikat pada jeriji tingkap tanpa makan malam.

Sekitar jam 4.55 pagi dan 5 pagi, Gaiyathiri berulang kali menendang dan menghentak kepala serta leher Piang berulang kali, menarik rambutnya dan mencekiknya berulang kali. Pada pukul 7.30 pagi, Piang didapati tidak bergerak, dan Chelvam pergi bekerja.

Setelah gagal mengejutnya kerana tidak memberikan sebarang respon, Prema menyarankan agar mereka memanggil doktor.

Gaiyathiri menghubungi klinik berhampiran antara jam 9.30 pagi dan 9.45 pagi untuk datang ke rumah, sambil berbohong kepada jururawat yang dia temui mangsa di lantai dapur.

 

Tak mengaku dera

Dr Grace Kwan, mencadangkan agar memanggil ambulans tetapi Gaiyathiri berkeras untuk menunggu doktor.

Sementara menunggu, kedua wanita itu menukar Piang pakaiannya yang basah dan membawanya ke sofa ruang tamu.

Piang disahkan mati oleh doktor setelah sampai kerumah mereka sekitar jam 10.50 pagi. Dr Kwan menyarankan mereka memanggil polis tetapi Gaiyathiri meminta beberapa waktu untuk menghubungi suaminya.

Ketika doktor bertanya kepada Gaiyathiri apakah dia telah memukul mangsa, Gaiyathiri menafikannya. Selepas beberapa minit, Dr Kwan memanggil ambulans.

Paramedik tiba pada kira-kira pukul 11.30 pagi dan mengesahkan bahawa Piang telah meninggal dunia.

Laporan autopsi menemui sejumlah 31 bekas luka dan 47 kecederaan luaran di seluruh badan Piang.

Mendapati mendapati bahawa  Piang dicekik berulang kali pada 25 Julai  dan ia menyebabkan kekurangan oksigen ke otak, yang mengakibatkan kematian.

 

Baca : Gagal Hadir Ke Mahkamah, Datin Dera Pembantu Rumah Dah Larikan Diri?