Seorang ibu meluahkan rasa terkilan terhadap sebuah klinik kesihatan di Bentong kerana didakwa gagal mengesan tanda awal penyakit anaknya sehingga meninggal dunia.
Wanita yang menggunakan nama Facebook Erma Iswani menyatakan kejadian itu berlaku pada 12 Julai lalu selepas anaknya yang berumur dua tahun enam bulan dan juga berstatus orang kelainan upaya (OKU) mengalami cirit birit dan menjadi semakin kritikal sehinggalah mangsa meninggal dunia pagi semalam.
Dakwa anak tak dapat rawatan yang sewajarnya
Menerusi hantaran tular itu, wanita itu mendakwa tidak wajar apabila anaknya yang telah sehari mengalami cirit-birit sebanyak 21 kali hanya diberikan tiga bungkus air garam ketika dia ke klinik kesihatan berkenaan.
“Saya rasa agak risau kerana mata anak saya sudah mula kelihatan tenggelam dan sedikit kecewa kerana saya mengharapkan doktor di klinik itu mengarahkannya untuk pergi ke hospital atau pun melakukan pemeriksaan darah anaknya tetapi tiada.
“Saya juga lihat kaki anak saya kemerahan berbintik sambil berfikir, takkan la doktor tu tak nampak kaki anak saya,” tulisnya.
Bimbang melihat keadaan anaknya sangat berbeza daripada biasa, dia kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta.
Katanya, selepas diperiksa dan ujian darah diambil doktor klinik swasta berkenaan telah memberi surat rujuk ke hospital memandangkan bacaan darah putih terlalu tinggi dan anaknya sudah tidak aktif.
Jelasnya apabila dibawa ke Hospital Bentong anaknya yang sudah tidak sedarkan diri telah ditidurkan sebelum di hantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh namun mangsa semakin kritikal selepas lima hari rawatan.
Susulan itu, menurut laporan Buletin TV3, Jabatan Kesihatan Pahang akan menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kes kematian kanak-kanak itu.