Mungkin ramai di luar sana tidak tahu, nama rasmi Perdana Menteri kita bukanlah Muhyiddin Yassin tetapi ‘Mahiaddin’ yang mana nama tersebut jarang digunakan kecuali untuk beberapa urusan rasmi.
Pun begitu menerusi satu memo yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 3 Jun 2021, semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan akan menggunakan nama rasmi Perdana Menteri.
Menurut Malaysiakini, nama rasmi atau nama sebenar Tan Sri Muhyiddin Yassin, seperti yang tertera di kad pengenalannya ialah – Mahiaddin Md Yasin.
Memo yang ditandatangani ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad itu ditujukan kepada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Perdana Menteri.
Susulan pandangan Jabatan Peguam Negara, dimaklumkan penggunaan nama rasmi perdana menteri adalah seperti berikut: Mahiaddin bin Md Yasin atau Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin.
“Sehubungan itu, semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan yang memerlukan penggunaan dan tandatangan atas nama Perdana Menteri hendaklah menggunakan nama rasmi Perdana Menteri seperti di atas.
“Arahan ini berkuat kuasa serta merta,” tulis memo tersebut.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 April lepas telah membatalkan satu perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin kerana tidak menggunakan nama seperti dalam kad pengenalan.
Walau bagaimanapun difahamkan Muhyiddin telah menggunakan nama sebenarnya dalam kesemua empat proklamasi darurat yang dilaksanakan tahun ini.
Baca: TS Muhyiddin Rela Dipanggil ‘PM Bodoh’ Asalkan Rakyat Sedia Bekerjasama Ikut SOP