Bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan adalah identiti dan kebanggaan bagi sesebuah negara. Namun di Malaysia, masih ada lagi sesetengah pihak yang memandang rendah penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, meskipun ia adalah bahasa kebangsaaan.
Jika kita lihat di Indonesia, mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang rasmi Apple untuk negara itu. Sesuatu yang sangat membanggakan dan mampu menaikkan martabat sesebuah bahasa itu sendiri.
Sebelum ini juga, isu sama pernah diutarakan oleh seorang pengguna Twitter, Xavier Naxa (@XavierNaxa). Dia memuji tindakan Apple Indonesia yang menggunakan bahasa ibunda dalam laman rasmi, berbanding Apple Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.
Namun, beberapa pihak mengecam pengguna Twitter ini kerana berpendapat penggunaan bahasa Melayu dilihat sedikit pelik dan janggal untuk digunakan bagi laman rasmi Apple.
Saya pernah ketengahkan perkara sama pada twit sebelum ini dengan harapan Bahasa Melayu dapat diperkasakan.
Namun malangnya saya dihentam oleh bangsa saya sendiri. https://t.co/KITlGX5DCf
— Xavier Naxa (@XavierNaxa) November 6, 2020
Di Jepun juga, mereka menggunakan bahasa ibunda dalam laman rasmi Apple. Sama juga seperti di negara-negara lain yang mempunyai bahasa ibunda sendiri, mereka akan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantaraan.
Situasi ini menimbulkan persoalan buat kita semua, mengapakah Malaysia tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam setiap urusan?
Adakah disebabkan oleh ramai rakyat Malaysia yang mahir dalam berbahasa Inggeris? Atau disebabkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, yang membuat bahasa Inggeris adalah lebih sesuai untuk digunakan?
Apa pendapat anda dalam isu ini?
BACA: Casing Handphone Jenama Apple dan Xiaomi Didapati Mengandungi Bahan Toksik Berbahaya