Semalam kecoh apabila persembahan kumpulan muzik dari England, The 1975 terpaksa diberhentikan selepas vokalisnya, Matty Healy membuat aksi yang tidak senonoh di atas pentas, selain menghina kerajaan Malaysia.
Menerusi ucapan Matty di atas pentas Good Vibes Festival (GVF), dia mengecam undang-undang Malaysia berkaitan LGBT. Tidak cukup dengan itu, dia juga membuat aksi tidak senonoh dengan mencium pemain bass, Ross McDonalds di atas pentas yang sama.
GVF dibatalkan
Menerusi perkongsian terbaharu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, beliau berkata pihaknya telah memanggil penganjur GVF berkaitan aksi dan kenyataan biadab yang dilakukan oleh The 1975.
Jelas Fahmi, Kerajaan Perpaduan mempunyai pendirian yang jelas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar dan melanggar undang-undang Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Fahmi mengarahkan penganjur untuk membatalkan serta merta saki baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung pada hari ini sehingga esok.
“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
Justeru, saya telah mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.”, jelas Fahmi.
Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK "The 1975" di Sepang malam tadi. pic.twitter.com/0X0xjnAmVJ
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) July 22, 2023
Sambungnya lagi, beliau sedar bahawa keputusan ini akan memberi impak kepada penonton yang telah membeli tiket. Justeru, pihaknya menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket.
Kenyataan ini ternyata mendapat perhatian ramai pihak yang mempunyai pendapat pelbagai. Apa pendapat anda berkenaan pembatalan festival ini?
BACA: The 1975 Digam, Hina Kerajaan Malaysia & Buat Aksi Tak Senonoh Atas Pentas Ketika Konsert Di Sepang