Umum mengetahui berkenaan cuaca panas melampau yang sedang melanda Malaysia. Bayangkan sahaja, tidur pada waktu malam pun boleh berpeluh gara-gara fenomena yang digelar El Nino ini.
Terbaharu, ribuan ikan di Tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak dilaporkan mati gara-gara cuaca panas yang melampau.
Menurut Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar (Eseri) UniSZA, Dr Fathurrahman Lananan, hasil siasatan mendapati tasik mengalami kekurangan oksigen dikenal pasti sebagai punca kematian ikan yang sebilangan besarnya adalah spesis tilapia.
“Kita sudah menjalankan pemeriksaan sampel air tasik dan mendapati bacaan oksigen terlalu rendah. Kita syak ia disebabkan kemasukan nutrien sisa air domestik dari sistem perparitan taman perumahan berhampiran.
“Cuaca panas melampau sejak Mac lalu akibat fenomena El Nina juga meningkatkan lagi suhu permukaan tasik sekali gus mengurangkan kapasiti simpanan oksigen di dalam air,” katanya kepada sumber.
Untuk rekod, ini bukanlah pertama kali insiden seperti ini berlaku di Tasik UniSZA. Sebelum ini, ribuan ikan pernah mati selepas tasik dijadikan sebagai komponen tebatan banjir kawasan setempat pada tahun 2017.
Pihaknya turut menyeru kerajaan agar meluluskan segera projek Loji Rawatan Air (LRA) bagi menampung kemasukan air domestik ke tasik berkenaan.
Kredit: Harian Metro
BACA: Hujan Batu Permata? 7 Fenomena Cuaca Ini Tak Berlaku Di Bumi Tapi Di Planet Lain!