Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar beri pempengaruh Imran Bard masa sehingga bulan Syawal ini untuk tampil membuat permohonan maaf atas perbuatannya yang telah mencemarkan imej pengarah tersebut.
Tegas Ellie, dia tidak akan berdiam diri hingga nasibnya terbela malah tidak akan teragak-agak untuk menyerahkan isu ini kepada pihak yang sepatutnya.
Artikel berkaitan : Ellie Suriaty Menangis Dijadikan Bahan Lawak Netizen Gara-gara Kes Imran Bard
Artikel berkaitan : “Pertemuan ini akan jadi penentu” – Ellie Suriaty Setuju Berjumpa Dengan Imran Bard
“Sepatutnya dia jumpa saya sebelum bulan puasa lagi. Tapi dia kata dia berada di kampung. Jadi saya bagi tempoh hingga raya nanti untuk dia datang jumpa saya.”
“Kalau dia berdegil juga, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk tindakan lanjut.”
Jelas Ellie, keengganannya untuk berdiam diri adalah kerana ia ada kaitan dengan masyarakat. Katanya, sebagai pempengaruh, Imran Bard boleh mempengaruhi masyarakat tentang perkara baik atau buruk.
“Dalam hal saya ini, ia lebih kepada buruk kerana saya banyak terima mesej menggelarkan saya sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain.”
Malah, Ellie enggan menuruti permintaan Imran yang ingin bertemu dengannya secara tertutup kerana permohonan maaf secara terbuka harus dilakukan memandangkan pempengaruh itu sudah mencemarkan nama baiknya kepada umum.
“Dalam mesej yang saya terima dia mahu berjumpa saya secara tertutup tapi balasan saya ialah permohonan maaf boleh dilakukan mengikut syarat saya.”
“Agama Islam tak mengajar kita meminta maaf melalui telefon. Kalau nak minta maaf, kena datang jumpa batang tubuh yang kita sudah sakitkan hatinya.”
“Kalau betul pun dia minta maaf, saya akan nilai sama ada dia ikhlas ataupun terpaksa sebab takut kena hentam.”
Mengenai tindakan undang-undang yang bakal diambil, Ellie menjelaskan bahawa ia tidak boleh dinilai pada dirinya kerana bakat yang dianugerahkan memandangkan dia sudah berusaha gigih selama tiga dekad untuk berada di tahap sekarang.
“Berapa nilai diri yang hendak diletakkan? Takkanlah nilai saya RM 200,000, RM 500,000 atau RM 1 juta? Saya adalah anugerah Allah SWT.”
“Saya berpegang pada janjinya untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku, saya nak tengok tanggungjawab bagaimana yang dia nak ambil.”
Sebelum ini, Ellie ada mengadakan sidang media dengan meluahkan rasa kurang senang terhadap satu kandungan video yang dihasilkan oleh Imran, baginya, ia telah mencemarkan namanya.
Sumber : mStar Online