Seorang lelaki warga tempatan baru-baru ini telah ditahan bersabit siasatan yang sedang dijalankan terhadap pengasas syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline, Datuk Allan Goh Hwan Hua serta keluarganya yang disyaki terlibat dalam kesalahan penggubahan wang haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohammad Yoosuf berkata, penahanan terbaharu berhubung kes itu dilakukan di kediaman suspek di Bangsar awal pagi tadi (Isnin).
Menurut kenyataan yang diberikan kepada pihak media, Ramli berkata siasatan sedang dijalankan berkaitan semakan dokumen penting yang terkait dengan transaksi perniagaan i-Serve.
i-Serve Online Mall Sdn. Bhd merupakan syarikat e-dagang yang mana Goh merupakan salah seorang daripada pemegang sahamnya.
Terdahulu, i-Serve dan enam syarikat lain yang bergabung dengannya telah dikenakan denda sebanyak RM50 juta oleh Bank Negara Malaysia pada Oktober tahun lepas kerana pengambilan deposit dan pengubahan wang haram.
Untuk rekod, Goh, isterinya berusia 55 tahun dan anak lelakinya berusia 26 tahun ditahan di rumah mereka di Shah Alam, Selangor pada 17 Oktober untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Artikel berkaitan : Ahli Lembaga Pengarah MYAirline Ditahan Polis, Didakwa Terbabit Pengubahan Wang Haram
Artikel berkaitan : “Hentikan politik murahan kotor” – TS Muhyiddin Yassin Mohon Jangan Kaitkan Dirinya Dengan MYAirline
Polis memperoleh perintah reman empat hari terhadap mereka pada 18 Oktober tetapi isteri dan anak Goh dibebaskan pada Sabtu lalu manakala Goh akan dibebaskan dengan jaminan polis kerana remannya berakhir hari ini.
Anggota polis kanan itu juga memberi maklumat terkini mengenai siasatan tersebut dengan mengatakan beberapa aset telah dirampas; antaranya 12 kenderaan daripada dua suspek, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, CPU dan 10 barang kemas.
Polis mula menyiasat MYAirlines selepas ia secara tiba-tiba mengumumkan penggantungan operasi pada 5.30 pagi pada 12 Oktober, dengan alasan masalah kewangan.
Tindakan mengejut itu menyebabkan ribuan penumpang terkandas.
Pada 16 Oktober, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata bayaran balik kepada penumpang boleh mencecah sehingga anggaran RM22 juta, sambil menambah ia hanya boleh memulakan pembayaran balik selepas mendapatkan pelabur baharu.
Sumber : MalayMail